Followers

Wednesday, 5 September 2012

TAK AKAN MELAYU HILANG DI DUNIA






1. Kata Hang Tuah “Tak akan Melayu hilang di dunia.” Dapatkah kata-kata keramat ini menentu yang Melayu tak akan hilang di dunia?

2. Di Singapura kerana tidak ada lagi sekolah Melayu dan bahasa penghantar di sekolah-sekolah di Republik itu ialah Inggeris dan China; segala urusan rasmi dan tidak rasmi menggunakan Bahasa Ingggeris atau China, maka orang Melayu sudah pun tidak menggunakan Bahasa Melayu. Mereka menggunakan Bahasa Inggeris walaupun semasa bercakap dengan anak pinak, keluarga dan kawan-kawan Melayu.

3. Budaya, adat istiadat Melayu juga terhakis. Yang tinggal hanyalah agama Islam mereka.

4. KeMelayuan mereka sudah tinggal separuh. Kita boleh ramal yang hakisan keMelayuan mereka akan berterusan sehingga akan hilanglah Melayu di Singapura.

5. Di sebelah utara pula kita dapati orang keturunan Melayu yang tidak dapat bertutur kata dalam Bahasa Melayu. Mereka Islam dan bangsa rasmi mereka ialah Thai. Maka hilanglah juga Melayu disitu.

6. Tetapi di Malaysia juga kehilangan Melayu sedang berlaku. Ada anak muda Melayu yang tidak lagi ingin dikenali sebagai orang Melayu. Mereka orang Malaysia. Ada pula yang hanya akui mereka orang Islam dan tidak perlu dikaitkan diri mereka dengan kaum Melayu.

7. Tetapi yang akan menghilangkan Melayu di dunia ialah dakwaan bahawa sesiapa yang bercakap berkenaan dengan bangsa Melayu, mereka akan dituduh “racist”. Oleh itu orang Melayu sudah tidak lagi berani menyebut perkataan Melayu kerana tidak mahu dituduh “racist”.

8. Kasihan Hang Tuah. Besar kemungkinan kata-katanya tidak lagi akan menjadi kenyataan. Demikianlah apabila kita bergantung kepada kata-kata hikmat untuk nasib kita, akhirnya akan hilang hikmatnya.

# Kata-kata Tun Dr Mahathir bin Mohamad


Tuesday, 4 September 2012

KAPAL TLDM DALAM MISI BANTUAN KEMANUSIAAN ETNIK ROHINGYA


Misi Kemanusiaan Etnik Rohingnya

TLDM secara langsung telah terlibat dengan misi kemanusiaan etnik Rohingnya di Myanmar. Sebanyak 480 tan berupa pakaian,  makanan , minuman, ubat-ubatan selimut, Al-Quran dan kain kapan telah berjaya disediakan untuk etnik Rohingya yang sedang menghadapi pergolakan etnik. KD Sri Inderasakti telah ditugaskan untuk membawa semua keperluan tersebut.   

Barangan keperluan tersebut  merupakan hasil sumbangan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.  Di samping itu juga, jabatan-jabatan kerajaan serta syarikat swasta turut memberi sumbangan barangan keperluan tersebut. Pengumpulan barangan ini telah dikoordinasikan oleh Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) yang diketuai oleh YBhg Dato’ Abdul Azeez bin Abdul Rahim, Presiden KP1M untuk dihantar kepada etnik Rohingya.


NTB mengucapkan Fair Wind and Following Sea kepada krew kapal KD Sri Inderasakti dalam pelayaran tersebut. Semoga pelayaran saudara sampai ke destinasi dengan selamat serta selamat pulang.


Bon Voyage


RUMAH TERBUKA AIDILFITRI TLDM MERIAH


PTL besama Pesara TLDM

Rumah Terbuka Aidilfitri TLDM telah dilaksanakan di KD SRI GOMBAK pada 1 Sep 12. Suasana majlis amat meriah dengan kehadiran para tetamu yang terdiri dari the Navy People bersama ahli keluarga masing-masing serta mantan-mantan pucuk pimpinan tertinggi TLDM dan pesara-pesara dari jauh dan dekat juga rakan-rakan media yang turut membuat liputan sepanjang majlis berlangsung.  Sambutan ini disifatkan paling istimewa dan lebih meriah berbanding tahun sebelumnya apabila kehadiran para tetamu dianggarkan lebih dari 10,000 orang.  

Sebanyak 8 buah bas telah tiba dengan membawa tetamu dari negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang, terdiri daripada pesara-pesara TLDM. Selaku tuan rumah, Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Hj Jaafar dan isteri, YBhg Puan Sri Sarah Ab Ghafar kelihatan begitu ceria melayani tetamu yang hadir bertali-arus.  Beliau turut bermurah hati memberi duit raya kepada kanak-kanak.   Istimewanya, kemunculan pelawak ‘Lan Pet Pet’ yang bertindak sebagai pengacara majlis telah menambahkan kemeriahan dan menggamatkan lagi suasana sambutan.   

Simboliknya, rumah terbuka seumpama ini menjadi medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan dan silaturahim selain sebagai jambatan mengeratkan tali persaudaraan dan menjamin ikatan perpaduan ke arah hubungan yang lebih kukuh dan dinamik.  Fenomena seperti ini amat dititikberatkan oleh pucuk pimpinan tertinggi TLDM agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dalam kesejahteraan dan harmoni. Tanpa konsep rumah terbuka yang dilaksanakan pada setiap tahun ini, hubungan silaturahim dan perpaduan akan pudar sedikit demi sedikit dan seterusnya akan hilang di pandangan generasi akan datang.
Berama pesara


Apa yang jelas, penganjuran rumah terbuka hari ini benar-benar meninggalkan impak yang penuh dramatik di kalangan tetamu yang hadir lebih-lebih lagi apabila dapat bertemu semula dengan rakan-rakan yang telah lama terpisah.  Pertemuan manis ini dapat mengimbau kembali kenangan-kenangan semasa berkhidmat satu ketika dulu.  Realitinya, majlis hari ini menyimpul momen amat bermakna untuk dikenang oleh para tetamu yang hadir dan ia sangat dirasai sehingga ke akhir majlis.

PAT turut hadir