Followers

Thursday, 17 January 2013

TLDM TIDAK GUNA WANG AWAM BAYAR AH LONG, PANGLIMA TENTERA LAUT



Oleh : LAKSAMANA TAN SRI ABDUL AZIZ JAAFAR

Saya ingin menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Mohamed Idris dalam ruangan Forum akhbar Utusan Malaysia 15 Januari 2013 di halaman 12 yang mendakwa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan 'wang awam' untuk menyelesaikan hutang ah long yang diambil anggotanya. Sumber sini.



Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan beliau telah menyalah tafsir laporan akhbar yang mendedahkan TLDM berjaya menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram atau ah long yang melibatkan 102 anggota yang dikeluarkan baru-baru ini.

Tindakan SM Mohamed menyelar tanpa usul periksa dan bersifat spekulatif boleh menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap perkhidmatan TLDM.

Kita sedia maklum bahawa setiap individu dalam sesebuah organisasi pasti tidak lari daripada masalah hutang. Menyedari hakikat ini, TLDM telah mengambil pendekatan yang proaktif untuk menangani masalah hutang ah long yang membelenggu warganya.

Masalah ini sekiranya tidak dibendung boleh menjejaskan fokus warga yang bermasalah dalam melaksanakan kerja seharian dan tanggungjawab yang digalas.

Pendekatan yang diambil TLDM merupakan satu daripada amalan 'best practices' TLDM iaitu memberi bantuan kepada anggota yang bermasalah. Bantuan ini berbentuk pembiayaan pendahuluan yang ditampung oleh Tabung Kebajikan TLDM.

Tabung ini bukan merupakan dana awam dan tidak melibatkan sebarang sumbangan daripada kerajaan. Ia ditubuhkan khusus untuk menyelesaikan masalah kebajikan serta memberi bantuan kepada warga TLDM yang memerlukannya.

Tabung ini telah digunakan untuk mendahulukan bayaran bagi menyelesaikan hutang warga dengan bantuan pihak ketiga pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding sekiranya bantuan tidak diberikan.

Jumlah sebenar warga TLDM yang terlibat dengan masalah pinjaman tidak berlesen ini ialah seramai 176 orang. Hasil siasatan terperinci yang dilakukan oleh Tim Pengurusan TLDM, didapati bahawa seramai 74 warga yang terlibat telah membayar lebih daripada jumlah yang sepatutnya dibayar.

Mereka ini telah ditindas oleh ah long yang memberi pinjaman sehingga terpaksa membayar jumlah yang terlampau. Penindasan ini dipandang serius oleh perkhidmatan TLDM.

Hasil rundingan yang dijalankan, individu terbabit tidak perlu menjelaskan baki hutang mereka.

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh TLDM sebelum ini, seramai 102 warga yang dinyatakan didapati perlu diselesaikan hutang mereka. Jumlah hutang termasuk faedah yang dikenakan oleh ah long ke atas mereka ialah RM370,000. Hasil rundingan lanjut pihak ah long bersetuju agar mereka ini hanya membayar baki sejumlah RM139,000.

Walau bagaimanapun, warga yang terlibat dalam hutang ini masih tertakluk kepada arahan yang telah ditetapkan di mana potongan gaji tetap dilakukan pada setiap bulan dalam jangka masa yang singkat dan tidak membebankan individu terbabit untuk membayar balik kepada Tabung Kebajikan TLDM.

Langkah yang diambil oleh pihak TLDM dalam menangani masalah kewangan ini seharusnya tidak dijadikan isu dan sebaliknya pihak CAP perlu menyokong usaha dan pendekatan ini.

Jika dilihat dari sudut positif, pendekatan yang diambil TLDM ini bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah kewangan anggota malah dapat melepaskan warga yang terlibat daripada menjadi mangsa penindasan ah long.

Secara tidak langsung penyelesaian ini turut akan dapat meningkatkan moral dan prestasi kerja mereka.

Melalui penyelesaian tersebut, masalah sosial di kalangan warga TLDM yang melibatkan keruntuhan disiplin, melakukan kerja part-time, tidak hadir tanpa cuti serta masalah rumah tangga dapat diatasi.

Tindakan TLDM ini sebenarnya merupakan langkah yang terbaik dalam membantu warganya yang terlibat dalam kes hutang.

Bebanan hutang menyebabkan seseorang individu yang terlibat tidak fokus kepada tanggungjawab sehingga membawa kesan buruk kepada organisasi. Oleh itu, TLDM sentiasa berusaha membantu menangani sebarang permasalahan yang dihadapi demi kesejahteraan dan kebajikan warganya.

TLDM telah belajar melalui kes ini dalam menyediakan mekanisme dan sistem bantuan khidmat nasihat bagi mencegah peminjaman daripada pihak ah long.

Melalui penyelesaian ini, TLDM dapat membendung kes hutang terlampau dan secara langsung akan mendapat memotivasikan warga TLDM dalam pengurusan kewangan agar perkara ini tidak berulang.

Dalam kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi yang terlibat iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang membantu serta pihak yang memberikan kerjasama dalam menangani isu ini.


Thursday, 10 January 2013

RM1000 SVTB1M AKAN DIBERI ESOK (JUMAAT, 11 JAN 12)



Seramai 3,000 pesara tentera tidak berpencen bakal menerima bayaran bantuan kewangan RM1,000, Jumaat ini. Pembayaran One-off itu akan dilancarkan di Bagan Datoh, Hutan Melintang, Perak yang dijangka akan disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 



Mengapa dilancarkan di Perak? 

Mereka yang bakal memperoleh bantuan kewangan itu veteran tentera tidak berpencen dan sudah mengemukakan butir diri. Kebanyakan penerima bagi fasa ini menetap di sekitar Perak.  Selepas ini, pemberian bagi fasa seterusnya akan diperluaskan di lokasi seluruh negara bermula 13 Januari ini. 

Pemberian hanya sekali sebanyak RM1,000 kepada veteran tentera tidak berpencen itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2013 pada Oktober lalu.  Sehingga kini ada kira-kira 240,000 veteran tentera tidak berpencen di seluruh negara. 

Katanya, dianggarkan 180,000 daripadanya masih belum mendaftar untuk bantuan terbabit.  Inisiatif kerajaan ini perlu direbut oleh golongan berkenaan kerana wang yang diterima berupaya membawa manfaat, khususnya dalam meringankan beban belanja bekas tentera yang tidak mempunyai pendapatan. 

Kepada mereka yang belum memohon untuk mendapatkan bantuan kewangan ini supaya berbuat demikian pada majlis berkenaan atau menghubungi pejabat Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTBM) di talian 06-6015979 atau 06-6015980 atau 019-3187898.

Borang SVTB1M telah diedarkan di kesemua pejabat JHEV seluruh negara dan 82 Pusat Sehenti milik tentera secara percuma dan veteran yang layak termasuk bekas anggota ATM, angkatan sukarela di bawah ATM, Force 136, bekas tentera British dan Sarawak Rangers. 

Thursday, 3 January 2013

R.I.P. DATUK TEMENGGONG KANANG ANAK LANGKAU


Agi Idup Agi Ngelaban

PW 1 (B) Datuk Temenggong Kanang anak Langkau. Beliau dilahirkan pada 2 Mac 1945 di Karangan Manok Nanga Meluan, Sarawak. Kanang berbangsa Iban. Akibat kenakalannya, Kanang telah dihalau oleh ibunya, lalu dipelihara oleh datuk dan neneknya.

Kanang merupakan seorang yang cekal menghadapi kesusahan hidup sejak kecil. Buktinya, dia sering melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara hidupnya seperti menjadi tukang masak, penoreh getah, dan mengangkut penumpang dengan perahu berenjin. Kanang juga menyertai angkatan tentera secara kebetulan dan diterima bekerja sebagai Iban Tracker. Kanang telah berkahwin dengan Helen Latai anak Intie dan dikurniai enam orang anak. Kanang melalui pelbagai pengalaman serta cabaran dalam pasukan tentera sehinggalah dia dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran 1 ketika bersara.

Kanang telah ditembak oleh komunis ketika menyertai Gerakan Pukat di kawasan hutan Tanah Hitam, Perak. Dia mendapat kecederaan parah dan terlantar di hospital selama hampir setahun. Pada tahun 1980, Kanang telah dianugerahkan pingat kedua tertinggi negara, iaitu Panglima Gagah Berani (PGB). Pada tahun 1981 pula, Kanang telah dianugerahkan Bintang Keberanian Tertinggi Negara, iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP). Kanang bersara daripada angkatan tentera pada 30 Mei 1986 setelah berkhidmat selama 21 tahun. Kanang telah dikurniakan Bintara Bintang Sarawak oleh kerajaan negeri Sarawak atas jasa-jasanya kepada negara.
 
Keberanian dan semangat nasionalisme Kanang dalam perjuangan menghapuskan pengganas komunis. Semangat cinta akan tanah air dalam kalangan rakyat - Kanang mempunyai semangat juang yang tinggi demi mempertahankan tanah airnya daripada pengganas komunis. Kegigihan dan kecekalan menghadapi dugaan hidup –Kanang tidak berputus asa walaupun dia hidup merempat selepas berhenti daripada tentera. Kemiskinan masyarakat di pedalaman Sarawak – Kanang serta penduduk di kawasan itu hidup dalam keadaan serba miskin dan hidup bergantung pada hasil hutan.
 

DATUK TEMENGGONG KANANG ANAK LANGKAU MENINGGAL DUNIA



 






















Pahlawan Negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pukul 1.45 pagi ini. Mendiang dikejarkan ke HUS dari kediamannya di Kampung Sungai Apong selepas mengadu sakit dada pada pukul 12 tengah malam.

Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau meninggal dunia di Hospital Umum dipercayai akibat serangan jantung pada jam 0145 pagi. Kanang yang berumur 65 tahun merupakan anak Sarawak yang menjadi kebanggaan negara keranan keberaniannya menentang komunis ketika bersama Angkatan Tentera Malaysia dari 1962 sehingga 1963.

Takziah diucapkan kepada keluarga beliau atas kehilangan orang  tersayang yang amat disanjungi sebagai perwira di mata rakyat Malaysia.











Sunday, 16 December 2012

KD GAGAH SAMUDERA, KAPAL LATIHAN TERKINI TLDM


KD Gagah Samudera

Upacara Penamaan dan Pelancaran kapal latihan GAGAH SAMUDERA milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disempurnakan oleh YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri YAB Perdana Menteri Malaysia bertempat di Limbungan NGV Tech Sdn Bhd Sijangkang pada  14 Dis 12.

Ships Dimension
Pemilihan nama GAGAH SAMUDERA merupakan kesinambungan dari Kapal Layar Diraja (KLD) TUNAS SAMUDERA di mana 'samudera' merupakan identiti bagi kapal latihan milik TLDM. Kapal latihan GAGAH SAMUDERA mempunyai spesifikasi 75.9 meter panjang turut dilengkapi tempat pendaratan helikopter dengan berat 1366 tan metrik serta mampu beroperasi sejauh 2500 batu nautika tanpa henti atau selama 21 hari di laut sebelum ulang bekal dilaksanakan.  Kapal Latihan ini juga bakal menempatkan 47 orang krew dan mampu menampung seramai 60 pelatih pada setiap kali pelayaran.  Istimewanya, kapal latihan ini turut dilengkapi sistem kombat, radar, peralatan navigasi dan komunikasi serta senjata jarak dekat yang bukan sahaja akan dijadikan platform latihan di laut malahan boleh melaksanakan tugas operasi pada sebilang masa apabila diperlukan.

Ships Description

Kapal Latihan GAGAH SAMUDERA telah berjaya di bina dengan usaha sama NGV Tech Sdn Bhd dan Syarikat Daewoo Shipbuilding Marine Engineering (DSME) dari Korea Selatan. Kejayaan pembinaan kapal ini telah membuktikan bahawa syarikat tempatan juga berupaya untuk menguasai kemahiran pembinaan kapal yang berteknologi tinggi serta mampu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk membangunkan industri maritim negara. Dalam pada itu, kehadiran kapal latihan ini juga dilihat berupaya memperkasakan latihan dan kemahiran serta kecekapan the Navy People dalam mengendalikan operasi armada TLDM. Latihan di laut yang bakal ditempuhi juga membuktikan bahawa TLDM sentiasa melaksanakan pembaharuan dan  penambahbaikan terhadap aset sedia ada serta mutu kerja the Navy People agar lebih efisyen seiring dengan visi TLDM iaitu Menjadi Tentera Laut Bertaraf Dunia.    

Setelah penamaan dan pelancaran ini, kapal latihan GAGAH SAMUDERA akan menjalani kerja-kerja ujian penerimaan di pelabuhan dan di laut serta ujian penembakan meriam sebelum diserahkan kepada TLDM secara rasmi pada 19 Mei 2013.  Kerja-kerja mengintegrasikan sistem dan ujian sebelum penerimaan kapal merupakan satu cabaran yang paling getir dan penting kepada tim projek yang terlibat secara langsung terhadap perolehan kapal latihan ini.