Tentera Laut Diraja Malaysia sekali lagi berjaya membuat penerbangan ihsan membawa organ dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh ke Hospital Kuala Lumpur pada petang 19 Oktober 2011. Pesawat FENNEC dari Skuadron 502, Markas Udara TLDM yang berpangkalan di Lumut telah berjaya membawa dua organ penting iaitu berupa jantung dan paru-paru. Dua organ ini terbangkan bagi dipindahkan kepada seorang penerima yang menunggu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Dalam penerbangan ini, turut bersama ialah dua orang pakar jantung dari IJN iaitu Dr. Mohd Ezani Bin Md Taib dan Dr. Mohd Nazeri bin Nordin. Penghantaran organ melalui penerbangan dibuat mengambil kira jangka hayat organ tersebut yang hanya boleh bertahan sekitar empat jam sahaja selepas diperolehi dari penderma. Kecekapan TLDM mengatur gerak pesawat telah mempercepatkan lagi misi penghantaran organ tersebut berbanding penggunaan jalan darat dan telah memastikan organ tersebut berjaya sampai ke IJN dalam tempoh yang lebih singkat. Menurut Puan Jamaliah bte Kario, Penyelia Jururawat merangkap Penyelaras Kanan Transplan Kebangsaan, Hospital Kuala Lumpur, penggunaan laluan udara membolehkan organ tersebut dibawa dengan lebih pantas dan prosedur pembedahan pemindahan atau transplantasi jantung dapat dijalankan segera sebaik sahaja organ tersebut tiba. Pesawat FENNEC diterbangkan oleh Juruterbang Leftenan Komander Sirajuddin bin Kamaruddin TLDM serta dibantu oleh Leftenan Hazrizy bin Ramli TLDM telah diterbangkan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh pada jam 4.56 petang dan selamat mendarat di padang awam Hospital Kuala Lumpur sejam kemudian sebelum dibawa ke IJN. Untuk rekod, penerbangan ihsan melibatkan pemindahan organ ini merupakan yang ketiga dilaksanakan oleh TLDM. Pada Februari 2010, TLDM berjaya membantu pemindahan organ jantung dengan menerbangkan organ dari penderma di Hospital Pulau Pinang ke IJN. Sementara, pada Disember 2009, pesawat TLDM berjaya membuat penerbangan pemindahan organ jantung dari Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dalam membantu Tan Geek Koon yang pada ketika itu berusia 40 tahun memperolehi jantung baru dalam transplantasi jantung bagi menggantikan dan menamatkan penggunaan jantung mekanikalnya. |
Petikan dari Laman Web TLDM (klik sini) |
No comments:
Post a Comment