Friday, 3 August 2012

STRATEGI LAUTAN BIRU KEBANGSAAN 3 (NBOS3)


Kerajaan akan memperluaskan projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 (NBOS3) untuk meningkatkan taraf hidup bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa. Beliau berkata, sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan dari dana mikro bagi memperluaskan projek penanaman ‘rock melon’ yang mempunyai nilai pasaran tinggi di tanah seluas 1.6 hektar di Sepang.

“NBOS3 merupakan satu projek yang terunggul dan berjaya. Kejayaan projek pertanian berteknologi tinggi yang membabitkan penanaman ‘rock melon’ dijangka menjana pendapatan bersih RM100,000 setiap tuaian telah mendorong kerajaan untuk memperluaskan projek ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek NBOS3 di KM 6.8, Jalan Nilai-KLIA.

Semasa lawatan itu, beliau turut mencadangkan agar tanah bersebelahan tapak projek sedia ada turut dibangunkan dengan tanaman tersebut bagi melatih dan membantu bekas tentera. Ali berkata projek NBOS3 yang disertai peserta Azam Tani itu berjaya membantu keluarga miskin meningkatkan taraf hidup kumpulan sasaran. Selain menjadi tempat perniagaan, projek tersebut katanya boleh dijadikan inkubator serta lokasi penyelidikan dan latihan kolej serta institusi pertanian di samping sebagai pusat agro pelancongan.

Projek NOBS3 seluas 1.4 hektar yang diuruskan Melonaire Sdn Bhd itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak April lalu melibatkan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pertahanan dan beberapa agensi lain bertujuan membangunkan tanah-tanah yang tidak produktif dengan aktiviti pertanian berteknologi tinggi. Sementara itu, Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman berkata projek NBOS3 berpotensi untuk terus berdaya maju dan pulangan modal dapat diperolehi dalam tempoh dua setengah tahun.

“Walaupun kos menanam ‘rock melon’ tinggi, namun permintaan tinggi dan harga pasaran yang kompetitif mencecah sehingga RM10 sekilogram menjadikannya sebagai tanaman pilihan terbaik untuk diusahakan. Ia juga mendapat permintaan tinggi di negara seperti Hong Kong, Singapura dan Timur Tengah,” katanya. Beliau berkata penanaman ‘rock melon’ secara teknik fertigasi dengan menggunakan struktur pelindung hujan di ladang itu hanya mengambil masa 70 hari untuk membolehkan hasil dituai dan setahun dapat dilakukan empat kali.

Sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment