Sunday, 16 December 2012

KD GAGAH SAMUDERA, KAPAL LATIHAN TERKINI TLDM


KD Gagah Samudera

Upacara Penamaan dan Pelancaran kapal latihan GAGAH SAMUDERA milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disempurnakan oleh YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri YAB Perdana Menteri Malaysia bertempat di Limbungan NGV Tech Sdn Bhd Sijangkang pada  14 Dis 12.

Ships Dimension
Pemilihan nama GAGAH SAMUDERA merupakan kesinambungan dari Kapal Layar Diraja (KLD) TUNAS SAMUDERA di mana 'samudera' merupakan identiti bagi kapal latihan milik TLDM. Kapal latihan GAGAH SAMUDERA mempunyai spesifikasi 75.9 meter panjang turut dilengkapi tempat pendaratan helikopter dengan berat 1366 tan metrik serta mampu beroperasi sejauh 2500 batu nautika tanpa henti atau selama 21 hari di laut sebelum ulang bekal dilaksanakan.  Kapal Latihan ini juga bakal menempatkan 47 orang krew dan mampu menampung seramai 60 pelatih pada setiap kali pelayaran.  Istimewanya, kapal latihan ini turut dilengkapi sistem kombat, radar, peralatan navigasi dan komunikasi serta senjata jarak dekat yang bukan sahaja akan dijadikan platform latihan di laut malahan boleh melaksanakan tugas operasi pada sebilang masa apabila diperlukan.

Ships Description

Kapal Latihan GAGAH SAMUDERA telah berjaya di bina dengan usaha sama NGV Tech Sdn Bhd dan Syarikat Daewoo Shipbuilding Marine Engineering (DSME) dari Korea Selatan. Kejayaan pembinaan kapal ini telah membuktikan bahawa syarikat tempatan juga berupaya untuk menguasai kemahiran pembinaan kapal yang berteknologi tinggi serta mampu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk membangunkan industri maritim negara. Dalam pada itu, kehadiran kapal latihan ini juga dilihat berupaya memperkasakan latihan dan kemahiran serta kecekapan the Navy People dalam mengendalikan operasi armada TLDM. Latihan di laut yang bakal ditempuhi juga membuktikan bahawa TLDM sentiasa melaksanakan pembaharuan dan  penambahbaikan terhadap aset sedia ada serta mutu kerja the Navy People agar lebih efisyen seiring dengan visi TLDM iaitu Menjadi Tentera Laut Bertaraf Dunia.    

Setelah penamaan dan pelancaran ini, kapal latihan GAGAH SAMUDERA akan menjalani kerja-kerja ujian penerimaan di pelabuhan dan di laut serta ujian penembakan meriam sebelum diserahkan kepada TLDM secara rasmi pada 19 Mei 2013.  Kerja-kerja mengintegrasikan sistem dan ujian sebelum penerimaan kapal merupakan satu cabaran yang paling getir dan penting kepada tim projek yang terlibat secara langsung terhadap perolehan kapal latihan ini.

Friday, 14 December 2012

DILEMA UPNM



Inilah kisah sebuah universiti
UPNM namanya di Kem Sungai Besi
Halatuju terpesong ke mana nak pergi
Apadah jadi pada halatuju rasmi?

NCnya seorang jeneral yang "frus"
Tak naik pangkat dia jadi malas
Khabar cerita "bola"nya dipulas
Kes XXX Mama Blondie boleh jelas

Sang Kelembai betina dilantik TNC
Pandai mengugut dan memanipulasi
Telah ditendang oleh dua universiti
UPNM tong sampah ambil dia lagi

Pentadbiran canselori menjadi kemelut
Pendaftar disisih malas nak sebut
Penasihat Undang-undang tidak diikut
Senet dipenuhi dengan pak turut

Keadaan di fakulti lagi kalut
Dekan diganti dengan pengikut
Masing-masing nak jaga kepentingan perut
Bak kerbau ditarik semua ikut

Kepimpinan tentera habis disingkir
Tumpangan dan kontrak akan diakhir
Implikasi pengajaran tidak difikir
Alasan yang diberi karut dan pandir

Subjek teras identiti universiti
Undang-undang sejarah tentera dan strategi
Tetapi sekarang telah diganti
Dengan keusahawanan dan berbagai lagi

Sewenang di"downgrade" Jabatan Strategi
Susahlah nak berkembang serta tadbiri
Bayangkan UPNM dalam keadaan begini
Bak restoran mamak tapi tak ada kari

Pengajaran terganggu pelajar gusari
Hantar petisyen kepada menteri
Kelembai betina naik panas hati
Diugutnya mereka ke malam hari

Pengajian maritim tak tentu hala
Kepentingan pelajar tidak dikira
Pensyarah pelaut diganti jurutera
Kerana nak singkir pensyarah tentera

Di Fakulti Pertahanan lagi sakan
Pensyarah jualan jadi pakar pertahanan
Dilantik pula menjadi dekan
Bukankah ini kes Tanjung Rambutan?
 
Kerjasama Kementah susah nak jalan
Ada saja halangan dan juga alasan
Apa guna ada universiti pertahanan
Kalau setakat nak ajar keusahawanan?

Banyak lagi perkara tersirat
Tetapi ini cukuplah disurat
Bukan untuk ditelan bulat-bulat
Tapi diedarkan untuk disiasat


Sajak ditulis oleh Mat Gerek dan disiarkan oleh akhbar HarakDaily pada 11 Dis 12. Adakah terdapat kebenaran dari sajak yang ditulis oleh penulis?. Adakah memang berlaku perubahan kepada objektif utama penubuhan Universiti ini yang berteraskan ketenteraan dan strategik pertahanan negara dan diganti dengan keusahawanan?.  Adakah produk universiti ini iaitu Pegawai Kadet pada suatu hari nanti yang akan menerajui ATM akan mempunyai pemikiran seperti orang awam dimana tugas dan tanggungjawab mereka adalah sebagai benteng pertahanan negara?. NTB berharap kemelut ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin agar perkara ini tidak terus menjadi tanda tanya kemana sebenarnya arah tuju sebenar penubuhan  UPNM.





Wednesday, 12 December 2012

PM LANCAR 7 INISIATIF BANTU PESARA TENTERA SABTU INI



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan tujuh produk teras bagi memperkasakan bekas tentera sempena perasmian Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar, Sabtu ini. Pelancaran tujuh produk tersebut adalah antara inisiatif terbaharu kerajaan melalui pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi membela nasib pesara serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negara ini.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 300,000 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 234,500 veteran tidak berpencen di seluruh negara. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu antara lain merangkumi bantuan melonjak usahawan bekas tentera, pemberian kad 1Malaysia Privilege, kemudahan rawatan, bantuan kerjaya kedua serta mewujudkan usahawan baru pesara tentera. ''Butiran mengenai produk-produk ini akan diperincikan sendiri oleh Perdana Menteri dalam pelancaran itu nanti. Apa yang penting, inisiatif ini melambangkan keprihatinan beliau selaku bekas Menteri Pertahanan selama 14 tahun," katanya.
7 Inisiatif 1MVRP - NBOS7


Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia dilaksanakan dengan tujuh (7) inisiatif :

1.         Program membaikpulih rumah veteran (veterans home repair)

2.         Pusat sehenti veteran 1 Malaysia (veterans access point)

3.         Program penempatan kerja untuk veteran (veterans hiring programme)

4.         Bantuan keusahawanan (entrepreneurs support)

5.       Meningkatkan penerimaan latihan PERHEBAT oleh industri (raise industry acceptance of PERHEBAT training)

6.         Program keluarga veteran 1 Malaysia (veterans family programme)

7.         Kad privilege 1 Malaysia ( veterans privilege card)
    


Menteri Pertahanan berkata, pelbagai inisiatif kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dalam membantu pesara tentera mendapat perhatian negara-negara maju yang berhasrat mengambil langkah sama.