Followers

Wednesday 8 May 2013

ORANG MELAYU MESTI TAHU HAKNYA



Orang Melayu hari ini sedang menghadapi gelora politik yang dicetuskan oleh bukan Melayu. Terpulanglah kepada orang Melayu untuk menghadapi isu yang penting ini. Usaha ke arah penyatuan Melayu, dari segi politik, ekonomi dan sosial sangat penting ke arah memperkasakan semula kekuatan orang Melayu dalam semua bidang ini.

Orang Melayu akan terus mempertahankan dan mengekalkan hak orang Melayu khususnya berkaitan agama Islam, bahasa dan budaya. Titik tolak pertemuan ke arah persetujuan antara yang menjadi hak orang Melayu seharusnya dipertahankan. Dalam sebuah negara berbilang kaum, bahasa dan budaya, kemajuan dalam ekonomi bukanlah satu-satunya ukuran tentang tahap perpaduan yang boleh dicapai di negara tersebut. Keseimbangan ekonomi penting bagi mengukuhkan perpaduan dalam sesebuah negara maju.


Orang Melayu mesti mempunyai ilmu untuk menguatkan kedudukan mereka dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya. Orang Melayu dan pemimpin Melayu harus bangkit menilai keupayaan dan peranan supaya usaha memajukan orang Melayu menghasilkan kesan yang kukuh, di samping hidup dalam harmoni dalam masyarakat berbilang kaum. Orang Melayu seharusnya mengetahui hak-hak mereka dan mempertahankan melalui kekuatan ilmu pengetahuan dan sentiasa bersatu dalam melaksanakan apa sahaja agenda yang baik untuk kepentingan bangsanya.

Adalah diharapkan semua orang Melayu di peringkat pemimpin atasan, pemimpin pertengahan dan rakyat bawahan bersatu dalam menggembeleng kekuatan ekonomi dan memahami apa juga dasar yang dilaksanakan kerajaan. Perkembangan di bidang sosioekonomi, industri, pengurusan, dan politik mestilah difahami dan direbut bagi kemajuan hidup. Sehubungan itu, orang Melayu mestilah terus berusaha memperkuatkan kedudukan ekonomi dan memperbaiki kesilapan-kesilapan yang telah berlaku dalam bidang ekonomi. Mendalami ilmu ekonomi dan berusaha mempertingkatkan ekonomi akan dapat membanteras kemiskinan dalam kalangan orang Melayu serta berusaha meningkatkan peratus pencapaian dalam ekonomi negara.


No comments: