Oleh : LAKSAMANA TAN SRI ABDUL AZIZ
JAAFAR
Saya ingin menjawab
kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
SM Mohamed Idris dalam ruangan Forum akhbar Utusan Malaysia 15 Januari 2013 di
halaman 12 yang mendakwa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan 'wang
awam' untuk menyelesaikan hutang ah long yang diambil anggotanya. Sumber sini.
Kenyataan tersebut
adalah tidak benar dan beliau telah menyalah tafsir laporan akhbar yang
mendedahkan TLDM berjaya menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram
atau ah long yang melibatkan 102 anggota yang dikeluarkan baru-baru ini.
Tindakan SM Mohamed
menyelar tanpa usul periksa dan bersifat spekulatif boleh menimbulkan persepsi
buruk masyarakat terhadap perkhidmatan TLDM.
Kita sedia maklum
bahawa setiap individu dalam sesebuah organisasi pasti tidak lari daripada
masalah hutang. Menyedari hakikat ini, TLDM telah mengambil pendekatan yang
proaktif untuk menangani masalah hutang ah long yang membelenggu warganya.
Masalah ini sekiranya
tidak dibendung boleh menjejaskan fokus warga yang bermasalah dalam
melaksanakan kerja seharian dan tanggungjawab yang digalas.
Pendekatan yang
diambil TLDM merupakan satu daripada amalan 'best practices' TLDM
iaitu memberi bantuan kepada anggota yang bermasalah. Bantuan ini berbentuk
pembiayaan pendahuluan yang ditampung oleh Tabung Kebajikan TLDM.
Tabung ini bukan
merupakan dana awam dan tidak melibatkan sebarang sumbangan daripada kerajaan.
Ia ditubuhkan khusus untuk menyelesaikan masalah kebajikan serta memberi
bantuan kepada warga TLDM yang memerlukannya.
Tabung ini telah
digunakan untuk mendahulukan bayaran bagi menyelesaikan hutang warga dengan
bantuan pihak ketiga pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding sekiranya
bantuan tidak diberikan.
Jumlah sebenar warga
TLDM yang terlibat dengan masalah pinjaman tidak berlesen ini ialah seramai 176
orang. Hasil siasatan terperinci yang dilakukan oleh Tim Pengurusan TLDM,
didapati bahawa seramai 74 warga yang terlibat telah membayar lebih daripada
jumlah yang sepatutnya dibayar.
Mereka ini telah
ditindas oleh ah long yang memberi pinjaman sehingga terpaksa membayar jumlah
yang terlampau. Penindasan ini dipandang serius oleh perkhidmatan TLDM.
Hasil rundingan yang
dijalankan, individu terbabit tidak perlu menjelaskan baki hutang mereka.
Merujuk kepada
kenyataan yang dikeluarkan oleh TLDM sebelum ini, seramai 102 warga yang
dinyatakan didapati perlu diselesaikan hutang mereka. Jumlah hutang termasuk
faedah yang dikenakan oleh ah long ke atas mereka ialah RM370,000. Hasil
rundingan lanjut pihak ah long bersetuju agar mereka ini hanya membayar baki
sejumlah RM139,000.
Walau bagaimanapun,
warga yang terlibat dalam hutang ini masih tertakluk kepada arahan yang telah
ditetapkan di mana potongan gaji tetap dilakukan pada setiap bulan dalam jangka
masa yang singkat dan tidak membebankan individu terbabit untuk membayar balik
kepada Tabung Kebajikan TLDM.
Langkah yang diambil
oleh pihak TLDM dalam menangani masalah kewangan ini seharusnya tidak dijadikan
isu dan sebaliknya pihak CAP perlu menyokong usaha dan pendekatan ini.
Jika dilihat dari
sudut positif, pendekatan yang diambil TLDM ini bukan sahaja mampu
menyelesaikan masalah kewangan anggota malah dapat melepaskan warga yang
terlibat daripada menjadi mangsa penindasan ah long.
Secara tidak langsung
penyelesaian ini turut akan dapat meningkatkan moral dan prestasi kerja mereka.
Melalui penyelesaian
tersebut, masalah sosial di kalangan warga TLDM yang melibatkan keruntuhan
disiplin, melakukan kerja part-time, tidak hadir tanpa cuti serta masalah rumah
tangga dapat diatasi.
Tindakan TLDM ini
sebenarnya merupakan langkah yang terbaik dalam membantu warganya yang terlibat
dalam kes hutang.
Bebanan hutang
menyebabkan seseorang individu yang terlibat tidak fokus kepada tanggungjawab
sehingga membawa kesan buruk kepada organisasi. Oleh itu, TLDM sentiasa
berusaha membantu menangani sebarang permasalahan yang dihadapi demi
kesejahteraan dan kebajikan warganya.
TLDM telah belajar
melalui kes ini dalam menyediakan mekanisme dan sistem bantuan khidmat nasihat
bagi mencegah peminjaman daripada pihak ah long.
Melalui penyelesaian
ini, TLDM dapat membendung kes hutang terlampau dan secara langsung akan
mendapat memotivasikan warga TLDM dalam pengurusan kewangan agar perkara ini
tidak berulang.
Dalam kesempatan ini,
saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi yang terlibat iaitu Agensi Kaunseling dan
Pengurusan Kredit (AKPK) yang membantu serta pihak yang memberikan kerjasama
dalam menangani isu ini.