Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di
kerusi Parlimen Johor Bahru, Jeneral (B) Tan Sri Md. Hashim Hussein didakwa
telah melanggar tiga etos atau etika utama ketenteraan apabila bertindak
memperlekeh dan menghina pasukan keselamatan negara. Bekas Panglima Latihan dan
Doktrin Tentera Darat, Mejar Jeneral (B) Datuk Amir Baharudin berkata, tindakan
bekas Panglima Tentera Darat itu adalah satu perkara yang tidak
bertanggungjawab dan memberi imej negatif kepada pasukan keselamatan negara di
mata masyarakat luar.
Jeneral Md Hashim Hussein (B) |
Beliau mendakwa, Md. Hashim telah melanggar etos
ketenteraan yang terdapat dalam ikrar kesetiaan angkatan tentera iaitu
kesetiaan dan ketaatan, maruah serta integriti. Menurutnya, sebagai seorang
bekas pegawai tertinggi pasukan keselamatan, beliau dilihat tidak setia kepada
negara, pihak atasan, organisasi serta pemerintah. "Malah dia sudah melanggar
maruah ketenteraan dan pasukan yang dipimpinnya. "Bagi saya juga dia sudah
menjatuhkan maruah diri sendiri sekali gus memberi isyarat kepada lawan bahawa
tentera Malaysia tidak pandai berperang dan lemah. "Bukan itu sahaja, dia
bercakap demikian seolah-olah mempersoalkan angkatan tentera untuk jaga
keutuhan negara kerana sudah menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga keutuhan
negara, keselamatan kita, keamanan supaya tidak berpecah belah," katanya
kepada pemberita ketika ditemui sebelum memulakan sesi ceramah di Kampung
Plentong Tengah.
Amir yang dikenali sebagai Pak Guntur berkata, bantahan
yang dibuat oleh ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) baru-baru ini
bukan berkisar perihal penglibatan beliau dalam arena politik, sebaliknya
adalah simbol perasaan kecewa atas penghinaan yang dibuat. "Dia sanggup
putar belit kenyataan demi kepentingan politik. Kami tak bantah dia masuk PKR
kerana itu hak dia, hak sebagai rakyat Malaysia untuk berpolitik, malah kami
ucap selamat atas perjuangan dia. "Kami kecewa sebab sebagai bekas
Panglima Angkatan Tentera Darat, dia bagi kami telah memperlekehkan pasukan keselamatan
negara," katanya.