SEDIA BERKORBAN |
Dalam diam tak diam, 27 April 2012 nanti
genaplah 78 Tahun TLDM mengabdikan dirinya untuk kesejahteraan Malaysia dalam
aspek pertahanan maritim. Sepanjang tempoh tersebut TLDM telah tempuh pelbagai
cabaran selain berdepan dengan laluan berliku yang penuh pahit-getir. Namun
TLDM tetap setia, berbekalkan motto “SEDIA BERKORBAN” segalanya diharungi
dengan penuh tabah. Banyak perubahan telah berlaku baik dalam aspek kepimpinan,
pembangunan aset, pembangunan modal insan serta role and task TLDM
(transformasi dari Brown ke Green dan dari Green ke Blue Water Navy).
Satu ketika dulu mungkin tidak terlintas
di benak fikiran kita bahawa Malaysia sebagai sebuah negara 'kerdil', mampu
memiliki kapal selam serta aset-aset ketenteraan yang canggih. Namun itulah
hakikat perubahan yang berlaku dalam TLDM. Tidak keterlaluan jika NTB katakan
rakyat dan dunia harus akur bahawa segala pencapaian yang dikecapi sekarang
adalah hasil pengorbanan yang dicurahkan TLDM. Pengorbanan TLDM bukan sahaja
untuk negara, malah meliputi keselamatan antarabangsa seperti penghantaran
kapal serta anggota ke Teluk Aden bagi menangani ancaman lanun. Walaupun
pelbagai pengiktirafan dunia diperolehi namun TLDM tidak pernah mendabik dada
dan jauh sekali berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai.
TLDM akan terus kekal tranformasi menerusi
anjakan paradigma bagi mengekalkan kredibilitinya. Pucuk pimpinan TLDM sentiasa
merancang agar TLDM kekal relevan dan terus maju bagi mencapai misinya untuk
menjadi World Class Navy. Masih terngiang di telinga NTB akan satu amanat
Panglima Tentera Laut di suatu ketika dulu “TLDM kini telah memiliki Armada
yang dilengkapi keupayaan perang tiga dimensi iaitu permukaan, udara dan bawah
air. Justeru, Armada masa depan adalah angkatan
laut yang seimbang dalam keupayaan tiga dimensi tersebut. TLDM akan meneroka,
membangun, menguji dan mengguna pakai konsep dan teknologi terkini sebagai
rangka kerja untuk transformasi apabila berurusan dengan keupayaan sistem
pertahanan maritim masa depan."
IsnyaAllah berkat usaha gigih semua
warga TLDM, visi untuk menjadi "Tentera Laut yang berkualiti" dan misi
"menyedia dan mengatur gerak angkatan laut untuk melindungi kepentingan
maritim Malaysia semasa aman dan memastikan kemenangan ketika perang" akan
dapat direalisasikan, InsyaAllah. Walaupun terdapat pihak tertentu yang cuba
mencalarkan imej TLDM, namun hakikat yang mereka perlu sedar ialah, tanpa TLDM,
pertahanan Maritim Malaysia akan polos.
Navy The Best - SEDIA BERKORBAN