Arwah Asrup |
Dukacita dimaklumkan pada
minggu lalu terdapat kejadian anggota dilaporkan lemas di Stesen UNIFORM TLDM.
Mangsa dikenalpasti sebagai 834143 LK I PAP Asrup bin Raidin. Kejadian
dilaporkan berlaku semasa mangsa sedang melaksanakan latihan renang di dalam
danau stesen. Anggota berumur 27 tahun dan berasal dari Tenom, Sabah (Kampung
Jawa Melalap Tenom, Sabah).
Walaubagaimanapun, pihak
keluarga mangsa telah mendakwa bahawa anggota berkenaan telah dipukul sebelum
dilaporkan mati lemas. Pihak media
telah menyebarkan gambar muka anggota mangsa
termasuk kesan lebam dan terdapat kesan dicucuh dengan puntung rokok. Ia telah
membangkitkan persoalan daripada banyak pihak kerana punca kematian tersebut
adalah meragukan dan seolah-olah terdapat konspirasi di pihak pegawai mangsa
untuk menutup cerita sebenar. Pada ketika ini
juga, wajah suspek yang didakwa membelasah anggota sehingga mati telah tersebar
di laman internet.
Justeru pihak TLDM telah
mengeluarkan kenyataan rasminya bahawa kes ini akan disiasat bagi
memastikan keluarga mangsa mendapat pembelaan dari kejadian kematian arwah.
Panglima Tentera Laut (PTL)
turut melahirkan rasa dukacita di atas kejadian tersebut dan berjanji akan menyiasat
dan memastikan perkara ini diambil tindakan dengan sewajarnya. Sekiranya
dakwaan keluarga anggota benar, pihak TLDM akan memastikan individu yang
terlibat dalam kejadian ini dibicarakan dan menerima hukuman yang sewajarnya.
Demi memelihara nama baik
dan integriti pasukan TLDM secara amnya, PTL berharap semua pihak bersabar agar
pihak berwajib dalam melaksanakan siasatan sedalam-dalamnya untuk mendapat
jawapan punca sebenar atas kematian arwah. Justeru, masyarakat awam diharap dapat bersabar dan tidak
menyebarkan spekulasi liar yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang
dijalankan.