Pada hari ini dalam
tahun 1963, Majlis Pertahanan Malaysia telah dibentuk oleh kerajaan bagi
menghadapi sebarang kemungkinan yang timbul, berikutan dengan langkah
memutuskan perhubungan diplomatik dengan Indonesia dan Filipina.
Majlis Pertahanan
Malaysia ini telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan
dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Menteri Kewangan,
Tun Tan Siew Sin; Menteri Dalam dan Keselamatan Negeri, Datuk Dr Ismall;
Menteri Kerja Raya, Telekom dan Pos, Datuk Sanbathan dan Ketua Angkatan
Bersenjata Persekutuan Malaysia, Datuk Rodney More. Pembentukan Majlis ini
telah diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman di sidang akhbar iaitu sidang akhbar
yang pertama sejak lahirnya Malaysia.
Pembentukan Majils
ini merupakan satu langkah pertahanan bagi persediaan menghadapi segala
kemungkinan ancaman luar negeri. Sebagai langkah permulaan, tentera simpanan,
terutama sekali Tentera Wataniah telah dikerah, bagi memperkuatkan Angkatan
Bersenjata. Angkatan Polis pula telah diperkuatkan dengan cara menghidupkan
semula Pasukan Polis Khas (Special Constable). Pertubuhan-pertubuhan awam juga
telah dikerah supaya bersiap sedia.
Di sidang akhbar
ini, Tunku Abdul Rahman telah mengingatkan bahawa Persekutuan Malaysia dan
Britain mempunyai perjanjian pertahanan. Dengan perjanjian ini Malaysia dan
Britain akan terlibat dalam sebarang serangan yang dilakukan ke atas negara-negara
Komanwel. Tunku juga telah menerangkan bahawa setakat ini Malaysia belum lagi
meminta apa-apa pertolongan pertahanan dari negara-negara sahabat kerana
Malaysia belum lagi dalam keadaan perang. la hanya dalam keadaan bersedia dan
berjaga-jaga sahaja untuk menghadapi sebarang kemungkinan dari luar negeri.