Followers

Monday 24 February 2014

LAUT SULAWESI VS AMBALAT


Pengenalan

Isu tuntutan bertindih di Laut Sulawesi atau turut dirujuk sebagai isu Ambalat di pihak Indonesia merupakan salah satu isu yang masih segar dibahaskan sehingga hari ini. Isu mengenai batas sempadan maritim yang bertindihan ini sebenarnya telah berlarutan semenjak negara mencapai kemerdekaan lagi. Sejarah telah membuktikan bahawa isu yang berlandaskan kepada persoalan hak dan kedaulatan seperti ini pernah bertukar menjadi persengketaan dan ketegangan yang serius di antara kedua-dua negara. Inisiatif penubuhan negara Malaysia yang menggabungkan Semenanjung Malaysia, Singapura, Sabah dan Sarawak pada awal tahun 1963 telah meretakkan hubungan politik kedua-dua negara. Walaupun penubuhan Malaysia antara lain bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah, Brunei dan Sarawak, negara Indonesia melihat tindakan Malaysia sebagai satu bentuk penjajahan yang ‘merampas hak dan kedaulatan’ negara mereka.

Semangat patriotisme yang ekstrem dan agresif telah melihat negara Indonesia turut mendaratkan tenteranya untuk gerakan subversif ke atas kerajaan Malaysia. Salah satu tragedi yang tetap diingati oleh Angkatan Tentera Malaysia adalah serangan oleh tentera Indonesia ke atas Pos Kawalan Sementara di Kalambakan, Tawau pada 29 Disember 1963. Tragedi ini merupakan salah satu nostalgia pahit dalam lipatan sejarah hubungan di antara Malaysia dan Indonesia. Serangan yang dilakukan ketika anggota platun dari Kompeni C, Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja mengerjakan solat Maghrib telah menyebabkan seramai 7 anggota termasuk Ketua Platunnya, Mejar Zainal Abidin terkorban dan 16 lagi anggota tercedera. Walaupun persengketaan yang berlaku lebih setengah abad lalu telah berjaya dipulihkan dengan perjanjian pendamaian, namun, sentimen ‘merampas hak dan kedaulatan negara’ masih dijadikan stigma oleh negara Indonesia untuk mengaitkan kerakusan Malaysia di dalam isu persempadanan di antara kedua-dua negara.


Sentimen Hak dan Kedaulatan

Sentimen hak dan kedaulatan merupakan satu isu yang sangat sensitif. Di kalangan masyarakat tempatan sekalipun persoalan mengenai hak pemilikan tanah mampu mencetus pergaduhan atau setidak-tidaknya telah mewujudkan persekitaran yang tegang. Contoh terbaik adalah kemelut pengambilan hak milik tanah ladang yang melihatkan kes pergaduhan di Tingkayu, Sabah yang turut melihat pertumpahan darah dan kematian. Sekiranya di kalangan masyarakat kita sendiri sanggup berbalah dan berbunuhan antara satu dengan yang lain demi mempertahankan hak masing-masing, apatah lagi sekiranya sesuatu isu seperti tuntutan bertindih di Laut Sulawesi ini yang melibatkan maruah bangsa dan negara. Semestinya ia juga membangkitkan kemarahan dan suasana yang cukup tegang di antara kedua-dua negara.

Kehilangan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan pada 17 Disember 2002 telah memberi impak yang sangat besar kepada pemimpin dan rakyat negara Indonesia. Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memberikan hak kedaulatan kedua-dua pulau tersebut kepada Malaysia telah menjadikan Indonesia lebih sensitif dan agresif di dalam mempertahankan wilayah mereka. Buktinya, slogan ‘Ganyang Malaysia’ yang digunakan sewaktu mengisytiharkan konfrontasi pada 23 Januari 1963 dilaungkan dan dicanangkan semula oleh sesetengah ahli politik negara tersebut apabila wujud perselisihan mengenai perbatasan sempadan wilayah antara kedua-dua negara pada awal tahun 2005. Protes dan reaksi agresif rakyat Indonesia mengenai isu Laut Sulawesi ini jelas menzahirkan rasa kurang senang masyarakat negara jiran mengenai isu persempadanan terhadap Malaysia. Isu yang sama telah sekali lagi digembar-gemburkan oleh media massa Indonesia pada bulan Mei 2009 lalu. Kali ini bukan isu ini sahaja yang menjadi agenda untuk memacu adrenalin rakyat republik itu untuk membenci Malaysia, malah isu terpencil seperti kes penderaan pembantu rumah, tarian pendet dan lagu Terang Bulan (Negaraku) turut diperbesarkan. Langkah bijak pemimpin kedua-dua negara yang sama-sama memberikan komitmen untuk berunding dan mencari penyelesaian telah berjaya meredakan kemelut persengketaan.


Analisis

Isu pembatasan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia bukan sahaja menjadi isu hangat yang sering dibahaskan oleh kedua-dua negara tetapi ia juga menjadi sumber perbincangan bagi penganalisis perundangan maritim di peringkat antarabangsa. Malah setiap tindakan oleh kedua-dua negara turut dinilai, dikaji dan dibahaskan di peringkat global. Persoalan sering hadir adalah negara mana yang lebih berhak ke atas kawasan ini? Jawapan yang jujur adalah kedua-dua negara berhak menuntut hak masing-masing di kawasan ini. Kedua-dua negara mempunyai asas dan pendirian untuk mengemukakan tuntutan masing-masing. Persoalan utama mengapa wujudnya pertindihan ialah kerana faktor geografikal kedua-dua negara yang berkedudukan secara bertentangan (opposite) dan juga bersebelahan (adjacent) di antara satu sama lain. Faktor ini telah menjana satu persekitaran geografi yang kompleks. Ciri-ciri fizikal pantai yang berbeza panjangnya, berbentuk cengkung dan cembung serta mempunyai kepulauan kecil yang banyak telah memberi tafsiran yang berlainan di dalam melakar persempadanan maritim di kawasan ini. Pemilikan entiti-entiti luar pantai seperti batuan dan hubung kait elemen historic title serta special circurmstances oleh kedua-dua negara telah menyulitkan lagi penyelesaian di kawasan ini.

Ramai antara kita yang berpendapat bahawa masalah pertindihan sempadan maritim seperti di Laut Sulawesi ini boleh diatasi sekiranya kedua-dua pihak mematuhi perundangan yang ditetapkan. Hakikatnya, United Nations Convention on the Law of the Sea 1982 atau Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (KUUL 1982) hanya menerapkan matlamat keputusan yang saksama (equitable result) sebagai penyelesaian. Tetapi KUUL 1982 tidak menerangkan prinsip dan tatacara sebenar untuk mencapai keputusan yan saksama. Oleh yang demikian, kaedah pembatasan sempadan maritim perlu merujuk kepada kes-kes mahkamah dan arbitrari antarabangsa. Rujukan kepada state practice ini mampu memberi sokongan kepada penggunaan peraturan equidistance dan prinsip-prinsip lain yang mengambil kira faktor geografi, historic title, special circurmstances dan lain-lain. Kajian terperinci dan strategi sesebuah negara amat penting di meja rundingan kerana setiap kes dan keputusan juri (jurisprudence) pula adalah unicum atau unik.

Kematangan TLDM

TLDM sebagai agensi peneraju pertahanan maritim negara dan juga selaku pelaksana aktiviti penguatkuasaan di zon maritim negara telah bertindak secara matang di dalam menangani isu ini. Pengalaman perkhidmatan yang berkesan selama 76 tahun tidak sedikit pun menggugat kepimpinan TLDM untuk berdepan dengan ketegangan dan tindakan provokasi oleh Tentera Negara Indonesia - Angkatan Laut (TNI-AL) dan agensi-agensi penguatkuasaan maritimnya. Semasa melaksanakan operasi untuk menzahirkan kedaulatan perairan negara, aset-aset TLDM di kawasan operasi telah bertindak dengan cekap, profesional dan konsisten. TLDM tidak sedikit pun terikut-ikut dengan nada dan rentak yang cuba dimainkan negara Indonesia. TLDM sedar bahawa ketegangan di Laut Sulawesi ini mampu mencetuskan konflik yang serius dan memudaratkan hubungan baik di antara Malaysia dan Indonesia.

Berasaskan pemahaman bahawa kedua-dua negara berhak menzahirkan kedaulatan zon perairan negara ‘masing-masing’, TLDM sedar bahawa tindakan kekerasan hanya mengundang ketegangan dan konflik. Jelas sekali kebenaran falsafah “..hubungan erat 100 tahun dua negara boleh terputus hanya dengan kesilapan 10 saat tindakan komander di lapangan..”. Dalam usaha menangani isu batas sempadan maritim yang bertindih ini, TLDM telah menekankan pelaksanaan dan kepatuhan prosedur Incidents at Sea Agreement (INCSEA). Pada hemat TLDM, INCSEA merupakan landasan terbaik untuk memastikan operasi di laut dilaksanakan dengan selamat dan seterusnya memelihara hubungan yang erat antara dua negara. Persetujuan untuk mematuhi INCSEA ini telah ditandatangani oleh ketua perkhidmatan Tentera Laut kedua-dua negara pada 18 Januari 2001 di Jakarta. Kepatuhan kepada prosedur INCSEA ini menzahirkan kematangan TLDM di dalam menangani ketegangan di lapangan. Seharusnya, Angkatan Laut Tentera Negara Indonesia (TNI-AL) tidak terikut-ikut dengan nada dan rentak agenda politik dalaman mereka. Sebaliknya TNI-AL harus sama-sama mendukung INCSEA agar kerjasama erat politik dan pertahanan yang terjalin berasaskan konsep “ASEAN Treaty of Amity and Cooperation 1975” dapat direalisasikan.

Status Pertikaian

Setelah gagal menghasilkan keputusan di meja rundingan, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk merujuk isu tuntutan kedua-dua pulau ini ke ICJ. Pada 17 Disember 2002, ICJ telah membuat keputusan untuk memberi kemenangan kepada Malaysia dengan keputusan 15-1. Walaupun pertikaian mengenai hak kedaulatan kedua-dua pulau telah terjawab, namun status batas sempadan maritim kedua-dua negara sebenarnya masih belum selesai. Keputusan ICJ hanya memutuskan status hak kedaulatan kedua-dua pulau sahaja dan tidak merangkumi pembatasan sempadan maritim kedua-dua negara. Ini kerana kedua-dua negara hanya mengemukakan permohonan agar ICJ membuat keputusan ke atas hak kedaulatan kedua-dua pulau sahaja.°Pertikaian persempadanan maritim di Laut Sulawesi bermula pada 21 Disember 1979 apabila Malaysia menghasilkan deklarasi batas sempadan Wilayah Laut dan Pelantar Benua melalui Peta Malaysia Baru 1979 (PB 1979). Pada 8 Febuari 1980, Indonesia telah menghantar Nota Bantahan mengenai kemasukan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan di dalam PB 1979.

Berdasarkan kepada keputusan ICJ tersebut, mahu tidak mahu, kedua-dua negara harus sama-sama berunding untuk menyelesaikan isu pembatasan sempadan maritim. Berasaskan polisi dasar luar kedua-dua negara yang mengamalkan prinsip toleransi dan kerjasama serantau, Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk berunding di dalam menyelesaikan isu pembatasan sempadan maritim. Sehingga kini, sejumlah 15 siri mesyuarat rundingan telah diadakan. Mesyuarat yang terakhir telah diadakan di Bali Indonesia pada 14 hingga 15 Oktober 2009. Melihat kepada semangat positif yang ditunjukkan kedua-dua negara, isu ini akan berjaya diselesaikan. Walau bagaimapun, adalah sesuatu yang tidak mustahil sekiranya proses rundingan ini akan menemui jalan buntu dan terpaksa dirujuk kepada adjudikasi pihak ketiga seperti ICJ atau arbitrari antarabangsa.


Rumusan

Berasaskan kepada fakta-fakta yang dihuraikan ini, tidak dinafikan bahawa isu tuntutan bertindih di Laut Sulawesi merupakan irritating issue kepada kedua-dua negara. Penyelesaian terbaik di dalam menangani isu di Laut Sulawesi ini adalah melalui forum diplomasi secara bilateral meja rundingan. Perbalahan, ketegangan dan konflik hanya memberi kesan negatif kepada hubungan erat kedua-dua negara. Tindakan TLDM yang tidak sama-sama terikut dengan nada dan rentak negara Indonesia jelas menunjukkan kematangan perkhidmatan TLDM. Kematangan ini telah meredakan ketegangan dan menggagalkan agenda yang cuba diketengahkan negara Indonesia. Bravo Zulu TLDM!!

1 comment:

hans said...

Mohon bagi credit pada penulis sebenar artikel ini. Untuk rekod, artikel yang sama telah diterbitkan dalam Majalah Samudera tahun 2010. Untuk makluman lanjut, sila layari http://najhans.blogspot.com/2010/07/sulawesi-vs-ambalat.html