Followers

Thursday 27 September 2012

CHINA MILIKI AIRCRAFT CARRIER

Liaoning

Kapal pengangkut pesawat pertama milik China berpangkalan di Dalian, timur laut China. Ia digunakan selepas China memperbesarkan lagi armada tentera lautnya ketika ketegangan maritim di Laut China Selatan terus meningkat.

Media negara berkenaan melaporkan, upacara pentauliahan kapal induk sepanjang 300 meter itu dihadiri oleh Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao. Kapal induk itu dibeli dari Ukraine dan dinamakan semula sebagai Liaoning sempena nama wilayah timur laut China yang menempatkan bandar pangkalan tentera laut utama di negara itu, Dalian.

Ships Specification
Sebelum dijadikan kapal pengangkut pesawat, Liaoning merupakan kapal separa siap milik tentera laut bekas Kesatuan Soviet. Kapal tersebut ditunda dari Ukraine tanpa enjin, persenjataan dan sistem navigasi pada tahun 1998. Kapal itu dibeli daripada pemerintah Ukraine pada harga sekitar AS$20 juta (RM61.4 juta). Kerja pengubahsuaian mengambil masa selama beberapa tahun.

Liaoning memiliki kapasiti untuk membawa sekitar 26 buah pesawat dan 24 buah helikopter. Dalam perkembangan berkaitan, Beijing masih belum mendedahkan peranan sebenar kapal induk tersebut selain membantu melindungi perairan China. Kapal induk itu juga didakwa memainkan peranan penting dalam meningkatkan pertahanan negara dan keupayaan ketenteraan tentera laut China.


Wednesday 19 September 2012

MEJAR (KEHORMAT) DATUK NICOL ANN DAVID


Tahniah!

Pemain skuasy nombor 1 dunia, Datuk Nicol Ann David ditauliahkan pangkat Mejar Kehormat pada majlis pentauliahan pangkat berkenaan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud di Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.

Mejar (Kehormat) Datuk Nicol Ann David dilantik sebagai Pegawai Kehormat dalam Pasukan Simpanan Sukarela TUDM (PSSTUDM) yang berkuat kuasa 28 Jun 2012 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong.


Tuesday 18 September 2012

VECONAC BELA VETERAN



VECONAC adalah Gabungan Veteran di Asia Tenggara yang ditubuhkan pada 19 Disember 1980 di Jakarta berdasarkan Manifesto Veteran Gabungan negara-negara ASEAN. Dokumen itu telah ditandatangani oleh Ketua Delegasi dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Singapura.

Matlamat Pertubuhan adalah untuk menggalakkan kerjasama di kalangan organisasi Veteran di negara-negara ASEAN bagi meningkatkan lagi kemakmuran ahlinya dalam bidang sosio ekonomi serta status.

Menjadi tanggungjawab Veconac untuk memperjuangkan nasib bekas tentera supaya mereka terus terbela serta diberikan perhatian oleh pihak berwajib dalam kalangan negara anggota. Katanya, antara topik yang mendapat perhatian pertubuhan tersebut adalah berkaitan kesihatan, kesejahteraan dan sosio ekonomi bekas tentera serta veteran perang di negara-negara anggota.

Veconac juga berperanan memastikan kesinambungan kepentingan bersama bekas atau veteran tentera serta mangsa perang di negara anggota diteruskan berpandu kepada norma-norma keharmonian seperti dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia.


Sunday 16 September 2012

SELAMAT HARI ANGKATAN TENTERA MALAYSIA



Selamat Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke 79 tahun yang disambut pada 16 September 2012.

Semoga semua warga ATM dalam tiga cabang perkhidmatan  Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut DiRaja Malaysia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia sentiasa berada dalam keadaan sejahtera sentosa untuk berbakti dan mempertahankan negara. Jasa dan pengorbanan anda tiada galang gantinya.

Saturday 15 September 2012

SELAMAT HARI MALAYSIA



Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Pada 16 Sep 1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat jelata.Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.

Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.

Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.

Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina emperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia.  Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

Namun, Hari Malaysia dan sejarahnya ini akan hanyut ditelan zaman. Sekalipun tidak hilang, tetapi apalah nilai Hari Malaysia jika sejarahnya hanya tersimpan di arkib, perpustakaan dan memori generasi lama? Apakah generasi muda sedar akan kewujudan Hari Malaysia?

Jawapan yang ada mungkin ya dan mungkin tidak, kerana tiada kajian rasmi yang menunjukkan persepsi ini. Namun, cubalah kita bertanya-tanya dengan anak-anak kita, cucu-cucu kita atau tanya sahaja dengan belia remaja yang kita temui di pusat-pusat membeli belah, yang sedang meladeni diri di kaki-kaki jalan dan yang terperuk di rumah memaku matanya pada skrin TV atau komputer. Jawapan yang kita terima, mungkin boleh dijadikan sebagai gambaran persepsi di atas.

Tulisan ini gambaran persepsi yang diterima melalui jawapan-jawapan daripada belia remaja sekeliling penulis. Hasilnya, penulis kecewa dan gusar akan nasib Hari Malaysia dan sejarahnya di masa mendatang. Ya, ada yang sedar akan kewujudan Hari Malaysia, tetapi apakah nilaiannya pada mereka? Apatah lagi yang tidak sedar akan kewujudan Hari Malaysia. Ini merupakan satu fenomena tidak sihat dalam perkembangan diri generasi muda. Buta sejarah akan menjadikan mereka rapuh jati diri yang akan merendahkan semangat patriotik pada diri mereka.

Permasalahan ini tidak dapat hanya kita sandarkan penyelesaiannya melalui pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah dan Pendidikan Sivik di sekolah. Kesedaran tentang kewujudan Hari Malaysia tidak boleh hanya terkurung dalam kurikulum pendidikan formal di sekolah. Penghayatannya perlu dalam bentuk interpretasi dalam kehidupan realiti.

Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos saban tahun merupakan contoh terbaik kesedaran melalui kurikulum pendidikan sekolah dan penghayatan melalui interpretasi dalam kehidupan realiti. Kita belajar akan Hari Kemerdekaan di sekolah dan kita lihat betapa pentingnya tarikh tersebut melalui sambutan gilang-gemilang menyambut tarikh tersebut.

Nah, tentu sahaja memberi kesan yang membekas pada diri generasi muda untuk memahami bahawa Hari Kemerdekaan merupakan satu peristiwa penting dan sejarahnya akan terus hidup dalam diri mereka. Justeru, cadangan menaik taraf penghargaan terhadap Hari Malaysia merupakan satu cadangan yang praktikal dan signifikan demi memastikan Hari Malaysia dan sejarahnya akan terus wujud dan hidup dalam diri generasi muda.

Penarafan semula penghargaan terhadap Hari Malaysia boleh sahaja dilaksanakan melalui sambutan rasmi sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu, hebahan melalui media cetak mahupun televisyen melalui pemaparan imbauan sejarah juga penting untuk menyebarkan kesedaran dan menanam penghayatan akan peristiwa penting pada tarikh tersebut. Bukan hanya setakat sebagai bahan bualan oleh hos rancangan televisyen atau tajuk rencana akhbar, Hari Malaysia perlu dijadikan sebagai tema rasmi dalam media cetak dan televisyen untuk tarikh 16 September tersebut.

NGO atau organisasi masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran dan penghayatan Hari Malaysia di peringkat akar umbi masyarakat. Melalui penganjuran sambutan Hari Malaysia di peringkat kampung, kawasan perumahan atau dengan acara forum, ceramah, tayangan filem dan lain-lain akan membantu masyarakat khususnya generasi muda untuk memahami mesej betapa taikh 16 September merupakan tarikh penting yang mengandungi peristiwa yang cukup signifikan untuk Malaysia.

Mungkin juga pengisytiharan tarikh 16 September setiap tahun sebagai hari cuti umum untuk seluruh negeri akan menunjukkan betapa kerajaan Malaysia benar-benar serius dalam menghargai Hari Malaysia. Pengisytiharan cuti umum ini akan membuka ruang untuk sambutan gilang-gemilang sempena Hari Malaysia dilaksanakan.

Tentu sahaja rakyat di Sarawak dan Sabah akan lebih merasakan kebersamaan mereka sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia secara keseluruhan. Maka Hari Malaysia akan dirai bersama sebagai bukti kesedaran dan penghayatan seluruh rakyat daripada seluruh negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Seperti mana generasi muda sedar akan Hari Kemerdekaan tanggal 31 Ogos setiap tahun, maka begitu jugalah mereka akan sedar akan peri penting tarikh 16 September dalam lipatan sejarah Malaysia melalui penghayatan yang selayaknya untuk Hari Malaysia.

Jangan biarkan generasi muda terus dilupakan tentang sejarah Malaysia yang dipenuhi dengan warna-warni perjuangan generasi terdahulu. Penghargaan yang setimpal harus diraikan untuk peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Malaysia yang membentuk Malaysia seperti yang kita lihat hari ini. Melalui kesedaran sejarah, maka generasi muda akan mampu menghayati nilai sebenar Malaysia.