Followers

Thursday 28 February 2013

TUN MAHATHIR, PTL LUANG MASA LAWAT KAPAL LATIHAN PERTAMA TLDM



Mantan Perdana Menteri, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Hj Jaafar meluangkan masa melawat kapal latihan pertama TLDM, GAGAH SAMUDERA di Limbungan NGV Tech Sdn Bhd Sijangkang pada 27 Feb 13

Lawatan singkat itu bagi meninjau perkembangan kapal setelah ia dilancarkan secara rasmi pada 14 Disember tahun lalu oleh YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.  Taklimat ringkas telah diberikan oleh Panglima Tentera Laut sepanjang tinjauan tersebut. Turut sama, Pengerusi Eksekutif NGV Tech Sdn Bhd, YBhg Dato’ Zulkifli Shariff dan Asisten Ketua Staf RANOP Markas Tentera Laut, YBhg Laksamana Muda Dato’ Abdul Ghani Othman. YABhg Tun Dr Mahathir mengambil peluang itu bersempena Upacara Pelancaran dan Penamaan Kapal Latihan Kedua TLDM, TEGUH SAMUDERA yang disempurnakan oleh YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri mantan Perdana Menteri ke-4 itu.

TEGUH SAMUDERA menjadi kebanggaan apabila berjaya dibina menggunakan kepakaran dan kemahiran anak-anak tempatan sepenuhnya dengan sedikit seliaan dari pihak luar. Kehadirannya ke dalam inventori TLDM bakal melengkapkan dua buah kapal baru ’Kelas Samudera’ sekaligus  menambah platform latihan yang amat diperlukan oleh TLDM. Sementara itu, Panglima Tentera Laut sempat menyatakan hasrat agar pihak kerajaan mengambil kira cadangan perolehan tambahan dua buah lagi kapal daripada limbungan NGV Tech dalam Rancangan Malaysia ke-11. Menurut beliau, ia adalah selari dengan cadangan TLDM untuk memperolehi empat buah kapal latihan bagi melengkapkan platform latihan untuk warga TLDM.

Sumber: Portal TLDM 


Tuesday 26 February 2013

PERKEMBANGAN PENCEROBOH DI LAHAD DATU SABAH



PDRM memutuskan untuk bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Tindakan  undang-undang berkaitan akan digunakan untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pasukan keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada kemasukan orang yang tidak berkenaan ke kawasan itu. Mereka adalah orang luar yang datang ke negara kita dan mencabuli undang-undang dan kedaultan negara. Pasukan keselamatan akan menggunakan pendekatan yang bersesuaian dan tidak akan berkrompomi terhadap isu pencerobohan ke atas negara ini bagi menjamin dan mempertahankan kedaulatan tanah air.

Media melaporkan berlaku perbalahan diantara penceroboh sehingga mengakibatkan dua kematian di kawasan itu namun perkara masih belum dapat dipastikan. PDRM menjelaskan mendengar bunyi tembakan dari kawasan penceroboh namun pengesahan samada tembakan yang dilepaskan ke atas binatang atau amaran dari kumpulan penceroboh masih belum dapat dipastikan.

Media Sabahkini.Net melaporkan maklumat tidak rasmi menyatakan bahawa dua daripada 100 orang penceroboh warga Filipina telah ditembak mati. Kematian mereka bukan disebabkan tembakan pihak berkuasa Malaysia, sebaliknya bergaduh sesama sendiri kerana kehabisan bekalan makanan dan berselisih pendapat. Kematian dua penceroboh itu akan menyebabkan keadaan tegang sebelum ini mungkin akan reda kerana sebahagian besar anggota tentera Sultan Sulu ingin pulang secara aman selagi diberikan ruang dan peluang oleh Kerajaan Malaysia. Dua mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Haji Musa dan Majid. Menurut sumber, beliau dan saksi lain mendengar antara enam hingga 10 bunyi tembakan; namun jumlah sebenar kematian dan kecederaan belum dapat disahkan.

BRP Tagbanua AT 296
Media Filipina turut melaporkan Tentera Laut Filipina telah menghantar kapalnya ke perairan Malaysia untuk mengambil penceroboh beredar dari perairan Malaysia. Kapal Tentera Laut Filipina BRP Tagbanua (AT-296), belayar dari Bongao, Tawi-Tawi ke perairan Malaysia pada hari ahad yang lalu. Kerajaan Filipina juga menggesa mereka segera menaiki kapal dan pulang ke tanah air. Turut berada di atas  kapal berkenaan ialah pemimpin Islam-Filipino, sukarelawan dan petugas perubatan.


Insiden pergaduhan sesama sendiri dan saling berbunuhan dipercayai menyebabkan kumpulan penceroboh ini semakin tertekan. Berkemungkinan mereka juga tertipu dengan dakyah ketua penceroboh tersebut yang mendakwa Sabah adalah milik mereka. Taktik psikologi yang digunakan pasukan keselamatan keatas kumpulan penceroboh kini membuahkan hasil. Admin menjangkakan perkara ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat tanpa pertumpahan darah. Amaran kepada kumpulan penceroboh.. Jangan cuba untuk mencabul kedaulatan negara Malaysia.


Friday 22 February 2013

KENYATAAN TERBUKA INSIDEN PENCEROBOHAN TENTERA KESULTANAN SULU DI LAHAD DATU



Perkara yang agak mengejutkan mengenai persiapan pengganas Tausug ini ialah apabila mereka awal-awal lagi sudah mempunyai 'contact person' dengan media barat. Baru 2 hari mendarat di Lahad Datu dan artikel yang menceritakan wanita serta anak kecil mereka dikepung oleh anggota keselamatan Malaysia sudah disiarkan di media barat.

Penulis tidak mencadangkan agar wanita dan kanak-kanak ini disasarkan oleh tentera kita. Namun saya sangat mencadangkan agar satu tindakan decisive diambil bagi memberi petunjuk bahawa kerajaan kita tidak akan berunding dengan pihak yang membuat tuntutan sambil mengacu senjata.

Penulis sempat berbual dengan beberapa orang anggota keselamatan yang terlibat di dalam operasi di pantai timur sabah ini. Cadangan adalah seperti berikut:-

(a) Agar Kerajaan mengistiharkan sekatan laut ke atas kemasukan kapal-kapal yang tidak berdaftar dari Filipina. Kekuatan maritim Malaysia digerakkan dengan 'standing order' untuk menghapuskan mana-mana kapal yang disyaki menyeludup masuk pasukan militan sokongan yang cuba menyertai pasukan pengawal diraja sultan Sulu di Sabah. Maksud menghapuskan disini adalah mudah. Sebaik saja militan di Sabah mendengar ada anggota pasukan mereka menemui maut di laut, mereka akan sedar bahawa Tentera Malaysia sanggup bertindak tegas sekiranya perlu.

(b) Agar Kerajaan Malaysia mengumumkan tempoh dateline kepada penceroboh ini kembali ke tempat asal mereka atau menyerah diri. Apabila tarikh dateline itu telah tamat, maka serangan jarak jauh (mungkin maksudnya menggunakan pesawat, artileri atau roket) dilancarkan ke atas kumpulan pengganas yang sedang terkepung tersebut. Penyelesaian secara bersenjata harus mengambil masa tidak lebih dari 48 jam bagi menutup kesan negative tersebar terlalu jauh di media perdana dan internet.

 


(c) Agar sekatan makanan dan minuman disekat sepenuhnya ke atas kumpulan tersebut.

(d) Agar disebarkan berita (khabar angin?) bahawa terdapat bounty wang yang lumayan akan diberikan ke atas mana-mana pihak tidak kira di Malaysia mahupin di Filipina yang mampu menamatkan nyawa Raja Muda Azzimudie Kiram dan Sultan Jamalul Kiram III Bin Datu Punjungan. Ini serta merta akan menyebabkan kedua-dua individu ini terpaksa menyembunyikan diri atau berkurung.

(e) Agar kerajaan Malaysia meminta bantuan pejuang bangsamoro yang menyokong Malaysia (serta mengharapkan dana bantuan dari Malaysia) untuk mengambil langkah extreme memberikan tekanan kepada waris Sultan Sulu.

Melewat-lewatkan penyelesaian krisis ini (yang sudah masuk minggu kedua) memberi akibat buruk kepada Malaysia dalam jangka pendek dan panjang. Secara dasarnya tentera upahan yang berlakon sebagai pengawal diraja tersebut mengharapkan agar Kerajaan akan membayar jutaan ringgit kepada mereke sekiranya mereka setuju beredar. Tapi jika wang ini dibayar maka Sabah ditakdirkan akan menjadi sasaran lanun dan pengganas dari Filipina dan Indonesia yang akan bermaharajalela melakukan serangan gerila keatas Sabah sekiranya tuntutan mereka untuk dibayar 'wang perlindungan' tidak dipenuhi.

Cara Malaysia mengangani insiden ini kini sedang diperhatikan serta 'diprofile' oleh musuh negara (dan tentera Singapura). Pendekatan terlalu berlembut oleh Hisyamuddin yang sebenarnya takut berkonflik lebih banyak membawa keburukan kepada keselamatan negara. Ia juga menjatuhkan reputasi anggota keselamatan negara dan menjejaskan moral angkatan tentera kita.

Sumber : http://afterdarkwrites.blogspot.com

Wednesday 20 February 2013

KRISIS DI LAHAD DATU – KERAJAAN CARI JALAN TERBAIK



Kerajaan Malaysia masih memberi ruang bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan insiden pencerobohan sekumpulan rakyat Filipina ke negara ini melalui Kampung Tanduo, Lahad Datu. Ruang yang diberikan itu tidak bermakna kerajaan tunduk kepada sesiapa tetapi bagi memastikan insiden pencerobohan itu tidak menjurus kepada sesuatu yang tidak diingini seperti pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Fokus utama ialah untuk menyelesaikan perkara ini dengan cara yang  terbaik.

Pendekatan pihak berkuasa Malaysia dengan membuka pilihan yang ada dalam menangani masalah berkenaan ialah bagi mengelak insiden itu daripada dipolemik atau dipolitikkan pihak tidak bertanggungjawab di dalam negara dan antarabangsa. Pihak yang berkepentingan dinasihatkan untuk tidak mendesak pihak berkuasa ke tahap itu.

Pasukan keselamatan tidak akan berkrompomi dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan Sabah. Kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Sabah tetap diutamakan dan dimohon agar  semua pihak supaya memberi sedikit masa kepada  pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah itu. Semua pihak harus memberi ruang kepada agensi keselamatan negara yang telah dilatih serta bertindak profesional dalam menjalankan tugas-tugas menangani kejadian pencerobohan itu.

Insiden itu bukanlah suatu mainan dan admin berharap agar semua pihak samada di media massa dan media sosial supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan operasi pihak berkuasa untuk menyelesaikan  masalah itu. Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menggembar-gemburkan keadaan yang kurang benar di Lahad Datu. Sebagai contoh rakaman kes tembak menembak di pasar awam di Lahad Datu pada 16 Feb 2009 yang digembar-gemburkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tiada kaitan dengan insiden ini. Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat sebenar sebelum membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat keamanan negara.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim  Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), sentiasa bersiap siaga dalam  mengawal sempadan negara terutama di kawasan pantai timur Sabah bagi menyekat penyusupan baharu. Kerajaan melalui Wisma Putra dan agensi risikan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerjasama baik dan berhubung rapat berhubung isu berkenaan.


Nasihat admin, jadilah pembaca dan rakyat yang bertanggungjawab dan serahkan hal insiden berkenaan ditangani oleh pihak berkuasa. Anggota keselamatan kita di Lahad Datu tidak tidur malam dan bergadai nyawa mengepung dan mengawasi kumpulan berkenaan. Janganlah jadi rakyat yang tidak bersyukur dengan mengkritik tugas, pengorbanan dan tanggungjawab mereka dengan menyatakan askar dan polis tidak buat kerja. Tanpa mereka, mungkin kita tidak mengecapi keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati sekarang ini.