Followers

Monday, 24 February 2014

LAUT SULAWESI VS AMBALAT


Pengenalan

Isu tuntutan bertindih di Laut Sulawesi atau turut dirujuk sebagai isu Ambalat di pihak Indonesia merupakan salah satu isu yang masih segar dibahaskan sehingga hari ini. Isu mengenai batas sempadan maritim yang bertindihan ini sebenarnya telah berlarutan semenjak negara mencapai kemerdekaan lagi. Sejarah telah membuktikan bahawa isu yang berlandaskan kepada persoalan hak dan kedaulatan seperti ini pernah bertukar menjadi persengketaan dan ketegangan yang serius di antara kedua-dua negara. Inisiatif penubuhan negara Malaysia yang menggabungkan Semenanjung Malaysia, Singapura, Sabah dan Sarawak pada awal tahun 1963 telah meretakkan hubungan politik kedua-dua negara. Walaupun penubuhan Malaysia antara lain bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah, Brunei dan Sarawak, negara Indonesia melihat tindakan Malaysia sebagai satu bentuk penjajahan yang ‘merampas hak dan kedaulatan’ negara mereka.

Semangat patriotisme yang ekstrem dan agresif telah melihat negara Indonesia turut mendaratkan tenteranya untuk gerakan subversif ke atas kerajaan Malaysia. Salah satu tragedi yang tetap diingati oleh Angkatan Tentera Malaysia adalah serangan oleh tentera Indonesia ke atas Pos Kawalan Sementara di Kalambakan, Tawau pada 29 Disember 1963. Tragedi ini merupakan salah satu nostalgia pahit dalam lipatan sejarah hubungan di antara Malaysia dan Indonesia. Serangan yang dilakukan ketika anggota platun dari Kompeni C, Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja mengerjakan solat Maghrib telah menyebabkan seramai 7 anggota termasuk Ketua Platunnya, Mejar Zainal Abidin terkorban dan 16 lagi anggota tercedera. Walaupun persengketaan yang berlaku lebih setengah abad lalu telah berjaya dipulihkan dengan perjanjian pendamaian, namun, sentimen ‘merampas hak dan kedaulatan negara’ masih dijadikan stigma oleh negara Indonesia untuk mengaitkan kerakusan Malaysia di dalam isu persempadanan di antara kedua-dua negara.


Sentimen Hak dan Kedaulatan

Sentimen hak dan kedaulatan merupakan satu isu yang sangat sensitif. Di kalangan masyarakat tempatan sekalipun persoalan mengenai hak pemilikan tanah mampu mencetus pergaduhan atau setidak-tidaknya telah mewujudkan persekitaran yang tegang. Contoh terbaik adalah kemelut pengambilan hak milik tanah ladang yang melihatkan kes pergaduhan di Tingkayu, Sabah yang turut melihat pertumpahan darah dan kematian. Sekiranya di kalangan masyarakat kita sendiri sanggup berbalah dan berbunuhan antara satu dengan yang lain demi mempertahankan hak masing-masing, apatah lagi sekiranya sesuatu isu seperti tuntutan bertindih di Laut Sulawesi ini yang melibatkan maruah bangsa dan negara. Semestinya ia juga membangkitkan kemarahan dan suasana yang cukup tegang di antara kedua-dua negara.

Kehilangan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan pada 17 Disember 2002 telah memberi impak yang sangat besar kepada pemimpin dan rakyat negara Indonesia. Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memberikan hak kedaulatan kedua-dua pulau tersebut kepada Malaysia telah menjadikan Indonesia lebih sensitif dan agresif di dalam mempertahankan wilayah mereka. Buktinya, slogan ‘Ganyang Malaysia’ yang digunakan sewaktu mengisytiharkan konfrontasi pada 23 Januari 1963 dilaungkan dan dicanangkan semula oleh sesetengah ahli politik negara tersebut apabila wujud perselisihan mengenai perbatasan sempadan wilayah antara kedua-dua negara pada awal tahun 2005. Protes dan reaksi agresif rakyat Indonesia mengenai isu Laut Sulawesi ini jelas menzahirkan rasa kurang senang masyarakat negara jiran mengenai isu persempadanan terhadap Malaysia. Isu yang sama telah sekali lagi digembar-gemburkan oleh media massa Indonesia pada bulan Mei 2009 lalu. Kali ini bukan isu ini sahaja yang menjadi agenda untuk memacu adrenalin rakyat republik itu untuk membenci Malaysia, malah isu terpencil seperti kes penderaan pembantu rumah, tarian pendet dan lagu Terang Bulan (Negaraku) turut diperbesarkan. Langkah bijak pemimpin kedua-dua negara yang sama-sama memberikan komitmen untuk berunding dan mencari penyelesaian telah berjaya meredakan kemelut persengketaan.


Analisis

Isu pembatasan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia bukan sahaja menjadi isu hangat yang sering dibahaskan oleh kedua-dua negara tetapi ia juga menjadi sumber perbincangan bagi penganalisis perundangan maritim di peringkat antarabangsa. Malah setiap tindakan oleh kedua-dua negara turut dinilai, dikaji dan dibahaskan di peringkat global. Persoalan sering hadir adalah negara mana yang lebih berhak ke atas kawasan ini? Jawapan yang jujur adalah kedua-dua negara berhak menuntut hak masing-masing di kawasan ini. Kedua-dua negara mempunyai asas dan pendirian untuk mengemukakan tuntutan masing-masing. Persoalan utama mengapa wujudnya pertindihan ialah kerana faktor geografikal kedua-dua negara yang berkedudukan secara bertentangan (opposite) dan juga bersebelahan (adjacent) di antara satu sama lain. Faktor ini telah menjana satu persekitaran geografi yang kompleks. Ciri-ciri fizikal pantai yang berbeza panjangnya, berbentuk cengkung dan cembung serta mempunyai kepulauan kecil yang banyak telah memberi tafsiran yang berlainan di dalam melakar persempadanan maritim di kawasan ini. Pemilikan entiti-entiti luar pantai seperti batuan dan hubung kait elemen historic title serta special circurmstances oleh kedua-dua negara telah menyulitkan lagi penyelesaian di kawasan ini.

Ramai antara kita yang berpendapat bahawa masalah pertindihan sempadan maritim seperti di Laut Sulawesi ini boleh diatasi sekiranya kedua-dua pihak mematuhi perundangan yang ditetapkan. Hakikatnya, United Nations Convention on the Law of the Sea 1982 atau Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (KUUL 1982) hanya menerapkan matlamat keputusan yang saksama (equitable result) sebagai penyelesaian. Tetapi KUUL 1982 tidak menerangkan prinsip dan tatacara sebenar untuk mencapai keputusan yan saksama. Oleh yang demikian, kaedah pembatasan sempadan maritim perlu merujuk kepada kes-kes mahkamah dan arbitrari antarabangsa. Rujukan kepada state practice ini mampu memberi sokongan kepada penggunaan peraturan equidistance dan prinsip-prinsip lain yang mengambil kira faktor geografi, historic title, special circurmstances dan lain-lain. Kajian terperinci dan strategi sesebuah negara amat penting di meja rundingan kerana setiap kes dan keputusan juri (jurisprudence) pula adalah unicum atau unik.

Kematangan TLDM

TLDM sebagai agensi peneraju pertahanan maritim negara dan juga selaku pelaksana aktiviti penguatkuasaan di zon maritim negara telah bertindak secara matang di dalam menangani isu ini. Pengalaman perkhidmatan yang berkesan selama 76 tahun tidak sedikit pun menggugat kepimpinan TLDM untuk berdepan dengan ketegangan dan tindakan provokasi oleh Tentera Negara Indonesia - Angkatan Laut (TNI-AL) dan agensi-agensi penguatkuasaan maritimnya. Semasa melaksanakan operasi untuk menzahirkan kedaulatan perairan negara, aset-aset TLDM di kawasan operasi telah bertindak dengan cekap, profesional dan konsisten. TLDM tidak sedikit pun terikut-ikut dengan nada dan rentak yang cuba dimainkan negara Indonesia. TLDM sedar bahawa ketegangan di Laut Sulawesi ini mampu mencetuskan konflik yang serius dan memudaratkan hubungan baik di antara Malaysia dan Indonesia.

Berasaskan pemahaman bahawa kedua-dua negara berhak menzahirkan kedaulatan zon perairan negara ‘masing-masing’, TLDM sedar bahawa tindakan kekerasan hanya mengundang ketegangan dan konflik. Jelas sekali kebenaran falsafah “..hubungan erat 100 tahun dua negara boleh terputus hanya dengan kesilapan 10 saat tindakan komander di lapangan..”. Dalam usaha menangani isu batas sempadan maritim yang bertindih ini, TLDM telah menekankan pelaksanaan dan kepatuhan prosedur Incidents at Sea Agreement (INCSEA). Pada hemat TLDM, INCSEA merupakan landasan terbaik untuk memastikan operasi di laut dilaksanakan dengan selamat dan seterusnya memelihara hubungan yang erat antara dua negara. Persetujuan untuk mematuhi INCSEA ini telah ditandatangani oleh ketua perkhidmatan Tentera Laut kedua-dua negara pada 18 Januari 2001 di Jakarta. Kepatuhan kepada prosedur INCSEA ini menzahirkan kematangan TLDM di dalam menangani ketegangan di lapangan. Seharusnya, Angkatan Laut Tentera Negara Indonesia (TNI-AL) tidak terikut-ikut dengan nada dan rentak agenda politik dalaman mereka. Sebaliknya TNI-AL harus sama-sama mendukung INCSEA agar kerjasama erat politik dan pertahanan yang terjalin berasaskan konsep “ASEAN Treaty of Amity and Cooperation 1975” dapat direalisasikan.

Status Pertikaian

Setelah gagal menghasilkan keputusan di meja rundingan, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk merujuk isu tuntutan kedua-dua pulau ini ke ICJ. Pada 17 Disember 2002, ICJ telah membuat keputusan untuk memberi kemenangan kepada Malaysia dengan keputusan 15-1. Walaupun pertikaian mengenai hak kedaulatan kedua-dua pulau telah terjawab, namun status batas sempadan maritim kedua-dua negara sebenarnya masih belum selesai. Keputusan ICJ hanya memutuskan status hak kedaulatan kedua-dua pulau sahaja dan tidak merangkumi pembatasan sempadan maritim kedua-dua negara. Ini kerana kedua-dua negara hanya mengemukakan permohonan agar ICJ membuat keputusan ke atas hak kedaulatan kedua-dua pulau sahaja.°Pertikaian persempadanan maritim di Laut Sulawesi bermula pada 21 Disember 1979 apabila Malaysia menghasilkan deklarasi batas sempadan Wilayah Laut dan Pelantar Benua melalui Peta Malaysia Baru 1979 (PB 1979). Pada 8 Febuari 1980, Indonesia telah menghantar Nota Bantahan mengenai kemasukan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan di dalam PB 1979.

Berdasarkan kepada keputusan ICJ tersebut, mahu tidak mahu, kedua-dua negara harus sama-sama berunding untuk menyelesaikan isu pembatasan sempadan maritim. Berasaskan polisi dasar luar kedua-dua negara yang mengamalkan prinsip toleransi dan kerjasama serantau, Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk berunding di dalam menyelesaikan isu pembatasan sempadan maritim. Sehingga kini, sejumlah 15 siri mesyuarat rundingan telah diadakan. Mesyuarat yang terakhir telah diadakan di Bali Indonesia pada 14 hingga 15 Oktober 2009. Melihat kepada semangat positif yang ditunjukkan kedua-dua negara, isu ini akan berjaya diselesaikan. Walau bagaimapun, adalah sesuatu yang tidak mustahil sekiranya proses rundingan ini akan menemui jalan buntu dan terpaksa dirujuk kepada adjudikasi pihak ketiga seperti ICJ atau arbitrari antarabangsa.


Rumusan

Berasaskan kepada fakta-fakta yang dihuraikan ini, tidak dinafikan bahawa isu tuntutan bertindih di Laut Sulawesi merupakan irritating issue kepada kedua-dua negara. Penyelesaian terbaik di dalam menangani isu di Laut Sulawesi ini adalah melalui forum diplomasi secara bilateral meja rundingan. Perbalahan, ketegangan dan konflik hanya memberi kesan negatif kepada hubungan erat kedua-dua negara. Tindakan TLDM yang tidak sama-sama terikut dengan nada dan rentak negara Indonesia jelas menunjukkan kematangan perkhidmatan TLDM. Kematangan ini telah meredakan ketegangan dan menggagalkan agenda yang cuba diketengahkan negara Indonesia. Bravo Zulu TLDM!!

Monday, 16 December 2013

JANJI PANGLIMA TLDM DALAM KES KEMATIAN LK I PAP ASRUP BIN RAIDIN


Arwah Asrup

Dukacita dimaklumkan pada minggu lalu terdapat kejadian anggota dilaporkan lemas di Stesen UNIFORM TLDM. Mangsa dikenalpasti sebagai 834143 LK I PAP Asrup bin Raidin. Kejadian dilaporkan berlaku semasa mangsa sedang melaksanakan latihan renang di dalam danau stesen. Anggota berumur 27 tahun dan berasal dari Tenom, Sabah (Kampung Jawa Melalap Tenom, Sabah).

Walaubagaimanapun, pihak keluarga mangsa telah mendakwa bahawa anggota berkenaan telah dipukul sebelum dilaporkan mati lemas. Pihak media telah  menyebarkan gambar muka anggota mangsa termasuk kesan lebam dan terdapat kesan dicucuh dengan puntung rokok. Ia telah membangkitkan persoalan daripada banyak pihak kerana punca kematian tersebut adalah meragukan dan seolah-olah terdapat konspirasi di pihak pegawai mangsa untuk menutup cerita sebenar. Pada ketika ini juga, wajah suspek yang didakwa membelasah anggota sehingga mati telah tersebar di laman internet.

Justeru pihak TLDM telah mengeluarkan kenyataan rasminya bahawa kes ini akan disiasat bagi memastikan keluarga mangsa mendapat pembelaan dari kejadian kematian arwah.


Panglima Tentera Laut (PTL) turut melahirkan rasa dukacita di atas kejadian tersebut dan berjanji akan menyiasat dan memastikan perkara ini diambil tindakan dengan sewajarnya. Sekiranya dakwaan keluarga anggota benar, pihak TLDM akan memastikan individu yang terlibat dalam kejadian ini dibicarakan dan menerima hukuman yang sewajarnya.

Demi memelihara nama baik dan integriti pasukan TLDM secara amnya, PTL berharap semua pihak bersabar agar pihak berwajib dalam melaksanakan siasatan sedalam-dalamnya untuk mendapat jawapan punca sebenar atas kematian arwah. Justeru, masyarakat awam diharap dapat bersabar dan tidak menyebarkan spekulasi liar yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.


Wednesday, 18 September 2013

HARI INI DALAM SEJARAH - PEMBENTUKAN MAJLIS PERTAHANAN MALAYSIA



Pada hari ini dalam tahun 1963, Majlis Pertahanan Malaysia telah dibentuk oleh kerajaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang timbul, berikutan dengan langkah memutuskan perhubungan diplomatik dengan Indonesia dan Filipina.

Majlis Pertahanan Malaysia ini telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Menteri Kewangan, Tun Tan Siew Sin; Menteri Dalam dan Keselamatan Negeri, Datuk Dr Ismall; Menteri Kerja Raya, Telekom dan Pos, Datuk Sanbathan dan Ketua Angkatan Bersenjata Persekutuan Malaysia, Datuk Rodney More. Pembentukan Majlis ini telah diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman di sidang akhbar iaitu sidang akhbar yang pertama sejak lahirnya Malaysia.

Pembentukan Majils ini merupakan satu langkah pertahanan bagi persediaan menghadapi segala kemungkinan ancaman luar negeri. Sebagai langkah permulaan, tentera simpanan, terutama sekali Tentera Wataniah telah dikerah, bagi memperkuatkan Angkatan Bersenjata. Angkatan Polis pula telah diperkuatkan dengan cara menghidupkan semula Pasukan Polis Khas (Special Constable). Pertubuhan-pertubuhan awam juga telah dikerah supaya bersiap sedia.

Di sidang akhbar ini, Tunku Abdul Rahman telah mengingatkan bahawa Persekutuan Malaysia dan Britain mempunyai perjanjian pertahanan. Dengan perjanjian ini Malaysia dan Britain akan terlibat dalam sebarang serangan yang dilakukan ke atas negara-negara Komanwel. Tunku juga telah menerangkan bahawa setakat ini Malaysia belum lagi meminta apa-apa pertolongan pertahanan dari negara-negara sahabat kerana Malaysia belum lagi dalam keadaan perang. la hanya dalam keadaan bersedia dan berjaga-jaga sahaja untuk menghadapi sebarang kemungkinan dari luar negeri.

Sumber : Arkib Negara

CHIN PENG KETUA KOMUNIS YANG KEJAM



Dosa bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), mendiang Chin Peng terlalu besar terhadap negara ini. Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Seth berkata sehubungan itu, tiada ruang walaupun seinci bagi mayat ketua pengganas komunis tersebut memasuki negara ini.

Mohd. Ghazali yang mempunyai ingatan terperinci berhubung kekejaman pengganas komunis menjelaskan, kepulangan mendiang ke tanah air merupakan penghinaan kepada bekas-bekas perwira negara yang telah terkorban. Beliau yang mengetuai ketumbukan pertahanan negara pada awal 80-an tidak dapat melupakan kekejaman yang dilakukan pengganas komunis terhadap pasukan pertahanan negara ketika itu.

“Saya sendiri memapah mereka yang cedera dan mengangkat mayat perwira dari medan pertempuran. Saya masih ingat pertempuran di Sungai Siput, Perak yang menyaksikan ramai anak-anak buah saya terkorban akibat kekejaman komunis. “Darah dan keringat pahlawan terdahulu jangan diabaikan, mereka berjuang sedaya-upaya memastikan anasir yang didoktrinkan Chin Peng ini dihapuskan, biar terkorban nyawa sekalipun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mayat Chin Peng yang meninggal dunia di Thailand akibat sakit tua pada usia 90 tahun tidak akan diterima untuk dibawa pulang ke negara ini. Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang tinggal dalam buangan di Thailand meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada pukul 6.20 pagi hari ini akibat sakit tua. Mengulas lanjut, Mohd. Ghazali yang juga Pengerusi Kelab Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (Rafoc) menambah, beliau yakin sesiapa sahaja yang hidup semasa zaman darurat pada 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1989 pasti membantah sebarang simpati terhadap Chin Peng.

Sudah terang lagi bersuluh tegasnya, kekejaman komunis yang membunuh sebanyak 2,083 anggota keselamatan negara perlu dijadikan titik rujukan paling kukuh bagi rakyat. “Chin Peng adalah ketua komunis yang melakukan kekejaman terhadap negara ini, jangan ada sekelumit sekalipun simpati terhadap pengkhianat negara ini, saya sokong ketegasan kerajaan dalam isu ini,” kata beliau.

MyKMU.Net

Thursday, 12 September 2013

KISAH PEMBOCORAN MAKLUMAT ASET KETENTERAAN NEGARA



Kisah pembocoran maklumat aset ketenteraan negara sering dimomokkan sebelum ini oleh individu yang berkepentingan seperti Tony Pua, Nurul Izzah dan ramai lagi yang ingin meraih populariti untuk kepentingan mereka. Beza antara Nurul Izzah dengan orang lain ialah beliau melakukannya di luar negara kepada “audience” asing. Manakala, yang lainnya membocorkan maklumat kepada pihak-pihak berkepentingan di dalam negara seperti ahli-ahli politik, ahli-ahli perniagaan atau juga orang perseorangan yang mempunyai agenda-agenda tertentu. Ada pula segelintir orang kita yang berperanan sebagai agen untuk memberikan maklumat mengenai negara ini kepada negara asing.

Maklumat adalah data mentah (raw data) yang sudah diproses untuk menjadikannya bersifat benar dan tepat, khusus dan disusun untuk memenuhi sesuatu matlamat dan juga bagi tujuan meningkatkan pemahaman dan mengurangkan keraguan tentang sesuatu perkara yang dimaksudkan. Oleh kerana sifatnya yang sedemikian, maklumat diberikan pendarjahan (classification) yang khusus dengan tujuan untuk melindunginya daripada digunakan untuk merosak atau membahayakan keselamatan nasional. Semakin bernilai maklumat itu semakin tinggi pendarjahan yang diberikan, bermula mengikut sususan atas ke bawah dari Rahsia Besar, Rahsia, Sulit dan Terhad.

Maklumat berdarjah yang diberikan Nurul Izzah (sebagai contoh) kepada pihak ke tiga secara tersendiri (in isolation) tidak akan menjejaskan keselamatan dan pertahanan negara. Namun, ia dapat membantu untuk memperlengkap dan memberikan gambaran besar mengenai profil negara. Jika di dalam bidang pemasaran/perniagaan skala besar mereka menggunakan analisis SWOT (strength, weaknesses, opportunity ,threats) sebelum memasuki sesuatu pasaran, begitu juga dengan kaedah yang diguna pakai oleh sebuah negara ke atas sebuah negara lain. Mereka akan mengutip, menyusun kumpul dan menganalisis apa juga maklumat penting mengenai sesebuah negara untuk membuat rumusan mengenai kekuatan dan kelemahan negara berkenaan.

Mungkin ada pihak yang mempersoalkan kewajaran Nurul Izzah (sebagai contoh) memberikan maklumat seumpama itu kerana tanpa beliau berbuat demikian maklumat sebegitu masih boleh didapati daripada sumber-sumber lain. Memang diakui, dalam era kecanggihan teknologi maklumat ini, maklumat bagaikan komoditi yang amat mudah diperolehi.Negara-negara maju contohnya menggunakan satelit untuk mengutip maklumat mengenai sesebuah negara lain.Namun demikian , sebagaimana yang diakui oleh Amerika Syarikat di dalam peperangan di Iraq dan Afghanistan, maklumat yang diperoleh secara human intelligence (humint) dari orang perseorangan adalah lebih tepat berbanding maklumat yang diperolehi melalui electronic intelligence (elint) atau signal intelligence (sigint). Humint mengsahkan apa juga maklumat yang dikutip melalui dua cara yang disebut itu.
 
Sedar di atas pentingnya manusia sebagai pembekal maklumat yang sahih, beberapa peraturan telah dibuat bagi mengekang maklumat berdarjah dari jatuh ke tangan mereka yang tidak diingini. Mereka yang diberi authority dan kuasa untuk mengurus dan menggendali maklumat-maklumat berdarjah ini perlu dibuat tapisan keselamatan terlebih dahulu. Mereka juga tertakluk kepada beberapa akta dan undang-undang antaranya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Malangnya , di sebalik langkah-langkah yang diambil ini aktiviti pengaliran maklumat berdarjah terus berlaku, dan berlaku secara terbuka. Admin pernah terbaca posting seorang blogger yang menceritakan mengenai “operational status” pesawat-pesawat MIG 29 di Pangkalan Gong Kedak dan Operasi Daulat di Lahad Datu sebelum ini.  Kita juga mungkin pernah mendengar bagaimana maklumat “dipindahkan secara langsung” menerusi penggunaan telefon bimbit oleh seorang ahli di dalam mesyuarat kepada seorang lain di luar bilik mesyuarat. Pemindahan dokumen berdarjah juga boleh dilakukan secara mudah dengan menyalinnya ke dalam “pendrive” atau dengan mengambil gambar menggunakan telefon bimbit berkamera.

Akhirnya, setelah segala kaedah dan cara yang diperkenalkan gagal untuk mengelakkan pembocoran maklumat daripada terus berlaku, apa yang tinggal ialah sikap “integrity” , amanah dan tanggungjawab setiap seorang yang diberi kuasa dan authority untuk mengurus dan menggendalikan maklumat. Pengurusan maklumat perlu dilaksanakan secara penuh berhemah, beretika, penuh komitmen dan rasa tanggungjawab. Nyahkan sifat pentingkan diri sendiri dan elak daripada mengkompromikan keselamatan negara.