Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM) memasuki era baharu pada 2002 apabila ia memperoleh dua kapal
selam Scorpene buatan Perancis berharga RM 3.4 bilion untuk meningkatkan
kemampuannya melindungi kedaulatan perairan negara.
Menurut TLDM,
langkah penting itu diambil untuk mengelak berulangnya “episode 1511” apabila
armada Portugis menyerang dan menawan bandar pelabuhan Melaka, yang ketika itu
terkenal sebagai pusat perdagangan utama di Asia Tenggara.
Menurut Sejarah
Melayu, setelah tiga hari menerima tentangan hebat daripada bala tentera
kerajaan Melaka, tentera Portugis akhirnya berjaya menawan jambatan Sungai
Melaka dan seterusnya menguasai bandar bersejarah itu.
Walaupun perajurit
Melaka berjuang bermati-matian untuk mempertahan tanah air mereka daripada
dijajah, namun kekurangan dari segi peralatan senjata memaksa mereka untuk
menerima kekalahan.
Berbanding
perajurit Melaka yang hanya bergantung pada keberanian dan senjata tradisional
seperti keris dan lembing, tentera Portugis dilengkapi peralatan lebih moden
termasuk senapang dan meriam, yang mampu membunuh dari jauh.
Selepas Portugis,
Melaka dijajah Belanda pada 1644, sebelum jatuh pula ke tangan British
berikutan perjanjian Inggeris-Belanda yang ditandatangani di London pada 1824.
KAPAL SELAM
Sejarah hitam yang
dialami Melaka itu membuktikan betapa pentingnya sektor pertahanan negara
sentiasa diperkasa dan dilengkapi peralatan moden untuk membolehkannya
menghadapi sebarang kemungkinan.
Panglima TLDM
Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata kehadiran dua kapal selam tersebut
membantu meningkatkan kekuatan pertahanan negara dalam memelihara kedaulatan
perairan Malaysia daripada ancaman musuh.
Bercakap kepada
wartawan yang menyertai program kunjungan media ke pangkalan TLDM di sini
baru-baru ini, Abdul Aziz berkata walaupun pemerolehan dua aset penting
pertahanan negara itu mendapat reaksi negatif daripada sesetengah pihak, namun
beliau yakin dengan kemampuan dua kapal selam itu dalam melindungi kedaulatan
Malaysia.
TAN SRI ABDUL AZIZ JAAFAR DILANTIK SEBAGAI PANGLIMA TLDM.
Kapal selam
berkenaan, yang masing-masing mengambil sempena nama dua bekas perdana menteri
Malaysia, menggunakan kuasa diesel. KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak
beroperasi secara ‘stealth’ serta mampu memberi kejutan kepada kapal yang cuba
menceroboh perairan negara.
Setiap satu
daripadanya, yang mampu membuat serangan dari dalam air ke permukaan laut,
membawa 32 anak kapal dan berupaya berada di dalam air selama 45 hari secara
berterusan.
PUSAT LATIHAN
Abdul Aziz berkata
pangkalan TLDM di sini akan menjadi pusat latihan kapal selam Scorpene pertama
dunia apabila kemudahan latihan simulator keduanya berharga kira-kira Euro 27
juta (RM 135 juta) siap untuk beroperasi awal tahun depan.
“India dan Chile
telah menyatakan minat mereka untuk menghantar anggota tentera laut mereka
menjalani latihan di pangkalan ini.
“Oleh kerana
Malaysia adalah sebuah negara pesisir, maka TLDM perlu meningkatkan
kemampuannya dari segi Kapal Tempur Pesisir (LCS),” kata beliau sambil
menjelaskan bahawa usaha itu merupakan sebahagian daripada rancangan pemodenan
Angkatan Tentera Malaysia.
(Zon pesisir adalah
bahagian laut, tasik atau sungai yang terletak berhampiran pantai. Bagi negara
berpantai, zon pesisir menganjur dari tikas air pasang, yang jarang
ditenggelami air, hinggalah ke kawasan pinggir pantai yang sentiasa
ditenggelami air.)
Selepas Perang
Dunia Kedua, Darurat dan Konfrontasi, TLDM melaksanakan pelbagai program
pemodenan dan kini dianggap antara angkatan laut paling kuat di Asia Tenggara.
TLDM mempunyai
kira-kira 20,000 anggota dan dilengkapi aset paling moden di rantau ini.
Ia mempunyai sebuah
pangkalan udara yang dilengkapi dua skuadron helikopter laut. Selain dilengkapi
kapal peronda pelbagai kelas, TLDM juga memiliki aset pasukan udara yang
terdiri daripada helikopter Agusta Westland Super Lynx 300 dan Eurocopter AS
555 Fennec.
TLDM juga mempunyai
sebuah pasukan khas dikenali sebagai “Paskal”.
No comments:
Post a Comment