Dosa bekas
Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), mendiang Chin Peng terlalu besar
terhadap negara ini. Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd.
Ghazali Mohd. Seth berkata sehubungan itu, tiada ruang walaupun seinci bagi
mayat ketua pengganas komunis tersebut memasuki negara ini.
Mohd. Ghazali yang
mempunyai ingatan terperinci berhubung kekejaman pengganas komunis menjelaskan,
kepulangan mendiang ke tanah air merupakan penghinaan kepada bekas-bekas
perwira negara yang telah terkorban. Beliau yang mengetuai ketumbukan
pertahanan negara pada awal 80-an tidak dapat melupakan kekejaman yang dilakukan
pengganas komunis terhadap pasukan pertahanan negara ketika itu.
“Saya sendiri
memapah mereka yang cedera dan mengangkat mayat perwira dari medan pertempuran.
Saya masih ingat pertempuran di Sungai Siput, Perak yang menyaksikan ramai
anak-anak buah saya terkorban akibat kekejaman komunis. “Darah dan keringat
pahlawan terdahulu jangan diabaikan, mereka berjuang sedaya-upaya memastikan
anasir yang didoktrinkan Chin Peng ini dihapuskan, biar terkorban nyawa
sekalipun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari
ini.
Semalam, Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mayat Chin Peng yang
meninggal dunia di Thailand akibat sakit tua pada usia 90 tahun tidak akan
diterima untuk dibawa pulang ke negara ini. Chin Peng atau nama sebenarnya Ong
Boon Hua yang tinggal dalam buangan di Thailand meninggal dunia di sebuah
hospital di Bangkok pada pukul 6.20 pagi hari ini akibat sakit tua. Mengulas
lanjut, Mohd. Ghazali yang juga Pengerusi Kelab Pegawai-Pegawai Bersara
Angkatan Tentera (Rafoc) menambah, beliau yakin sesiapa sahaja yang hidup
semasa zaman darurat pada 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1989 pasti membantah
sebarang simpati terhadap Chin Peng.
Sudah terang lagi
bersuluh tegasnya, kekejaman komunis yang membunuh sebanyak 2,083 anggota
keselamatan negara perlu dijadikan titik rujukan paling kukuh bagi rakyat. “Chin
Peng adalah ketua komunis yang melakukan kekejaman terhadap negara ini, jangan
ada sekelumit sekalipun simpati terhadap pengkhianat negara ini, saya sokong
ketegasan kerajaan dalam isu ini,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment