Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya
berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada
hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun
ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat
di Gua Hira,
bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.
Perkataan
"Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut
bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna
terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia
al-Quran.
Ayat
al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat
Jibril ialah lima ayat
pertama daripada Surah Al-Alaq.
‘Al-Quran’
bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan
pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains,
teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai
kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’.
Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang
dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya
terdapat di dalam al-Quran.
Firman Allah:
Dan tidak seekor pun
binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan
kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami
tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya
akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
(Al-An’am:38)
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan
pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar.
Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti
yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula
bermaksud yang memberi peringatan.
No comments:
Post a Comment