Followers

Tuesday, 23 July 2013

TLDM DAPAT DUA KAPAL LATIHAN TAHUN INI



Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mendapat dua buah Kapal Latihan pada tahun ini iaitu `Gagah Perkasa’ dan `Teguh Samudera” bagi meningkatkan keupayaan armada TLDM dalam mempertahankan benteng perairan negara.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Haji Jaafar berkata, usaha meningkatkan keupayaan armada TLDM amat penting bagi menangani isu global maritim yang semakin mencabar. Beliau berkata, usaha meningkatkan keupayaan armada TLDM ini bukan sekadar peranan dan tanggungjawab dalam menangi isu global maritime yang semakin mencabar malah ia meluas sehingga ke perairan antarabangsa.

"Contoh terbaik yang dapat kita lihat dalam kes penerobohan pengganas di Lahat Datu, Sabah di mana TLDM telah memainkan peranan penting dalam Operasi Serkap dengan mengoperasikan 16 kapal serta jentera yang digunakan untuk memburu dan menangkap saki-baki pengganas serta menghalang percubaan pengganas lain daripada menceroboh perairan Sabah,’’ katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bersama 1,500 warga TLDM di perkarangan Masjid An-Nur Pangkalan TLDM Lumut semalam. Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir. Tan Sri Abdul Aziz berkata, usaha TLDM ini merupakan komitmen berterusan TLDM dalam memastikan kepentingan maritim negara terus di lindungi dan kekal dalam keadaan aman. Menurut beliau, sejak penubuhan TLDM 79 tahun yang lalu, ia telah mengharungi pelbagai peristiwa dan cabaran pahit getir dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.


Katanya, perjuangan warga TLDM bersama anggota pasukan keselamatan lain telah menyumbang kepada keselamatan dan keamanan negara. Menurut Tan Sri Abdul Aziz, peranan dan tanggungjawab TLDM yang semakin meluas dan mencabar masa kini memerlukan kekuatan peningkatan keupayaan armada yang seiring dengan pembangunan angkatan-angkatan laut serantau dan antarabangsa. "Peningkatan keupayaan armada TLDM ini wajar dilaksanakan agar TLDM sentiasa kekal sebagai benteng pertahanan maritim negara yang unggul,’’ katanya.
 
Dalam hal ini, katanya, TLDM telah mengorak langkah dengan penubuhan Markas Angkatan Kapal Selam di Pangkalan TLDM, Kota Kinabalu yang dilengkapi dengan dua buah kapal selam jenis Scorpion iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak bagi memperkasakan lagi armada TLDM.
 

No comments: