Followers

Wednesday 18 September 2013

HARI INI DALAM SEJARAH - PEMBENTUKAN MAJLIS PERTAHANAN MALAYSIA



Pada hari ini dalam tahun 1963, Majlis Pertahanan Malaysia telah dibentuk oleh kerajaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang timbul, berikutan dengan langkah memutuskan perhubungan diplomatik dengan Indonesia dan Filipina.

Majlis Pertahanan Malaysia ini telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Menteri Kewangan, Tun Tan Siew Sin; Menteri Dalam dan Keselamatan Negeri, Datuk Dr Ismall; Menteri Kerja Raya, Telekom dan Pos, Datuk Sanbathan dan Ketua Angkatan Bersenjata Persekutuan Malaysia, Datuk Rodney More. Pembentukan Majlis ini telah diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman di sidang akhbar iaitu sidang akhbar yang pertama sejak lahirnya Malaysia.

Pembentukan Majils ini merupakan satu langkah pertahanan bagi persediaan menghadapi segala kemungkinan ancaman luar negeri. Sebagai langkah permulaan, tentera simpanan, terutama sekali Tentera Wataniah telah dikerah, bagi memperkuatkan Angkatan Bersenjata. Angkatan Polis pula telah diperkuatkan dengan cara menghidupkan semula Pasukan Polis Khas (Special Constable). Pertubuhan-pertubuhan awam juga telah dikerah supaya bersiap sedia.

Di sidang akhbar ini, Tunku Abdul Rahman telah mengingatkan bahawa Persekutuan Malaysia dan Britain mempunyai perjanjian pertahanan. Dengan perjanjian ini Malaysia dan Britain akan terlibat dalam sebarang serangan yang dilakukan ke atas negara-negara Komanwel. Tunku juga telah menerangkan bahawa setakat ini Malaysia belum lagi meminta apa-apa pertolongan pertahanan dari negara-negara sahabat kerana Malaysia belum lagi dalam keadaan perang. la hanya dalam keadaan bersedia dan berjaga-jaga sahaja untuk menghadapi sebarang kemungkinan dari luar negeri.

Sumber : Arkib Negara

1 comment:

JKKK Kota Sarang Semut said...

salam tn admin..pohon linkkan blog saya..tq

http://jkkk-kotasarangsemut.blogspot.com/