Followers

Friday, 14 December 2012

DILEMA UPNM



Inilah kisah sebuah universiti
UPNM namanya di Kem Sungai Besi
Halatuju terpesong ke mana nak pergi
Apadah jadi pada halatuju rasmi?

NCnya seorang jeneral yang "frus"
Tak naik pangkat dia jadi malas
Khabar cerita "bola"nya dipulas
Kes XXX Mama Blondie boleh jelas

Sang Kelembai betina dilantik TNC
Pandai mengugut dan memanipulasi
Telah ditendang oleh dua universiti
UPNM tong sampah ambil dia lagi

Pentadbiran canselori menjadi kemelut
Pendaftar disisih malas nak sebut
Penasihat Undang-undang tidak diikut
Senet dipenuhi dengan pak turut

Keadaan di fakulti lagi kalut
Dekan diganti dengan pengikut
Masing-masing nak jaga kepentingan perut
Bak kerbau ditarik semua ikut

Kepimpinan tentera habis disingkir
Tumpangan dan kontrak akan diakhir
Implikasi pengajaran tidak difikir
Alasan yang diberi karut dan pandir

Subjek teras identiti universiti
Undang-undang sejarah tentera dan strategi
Tetapi sekarang telah diganti
Dengan keusahawanan dan berbagai lagi

Sewenang di"downgrade" Jabatan Strategi
Susahlah nak berkembang serta tadbiri
Bayangkan UPNM dalam keadaan begini
Bak restoran mamak tapi tak ada kari

Pengajaran terganggu pelajar gusari
Hantar petisyen kepada menteri
Kelembai betina naik panas hati
Diugutnya mereka ke malam hari

Pengajian maritim tak tentu hala
Kepentingan pelajar tidak dikira
Pensyarah pelaut diganti jurutera
Kerana nak singkir pensyarah tentera

Di Fakulti Pertahanan lagi sakan
Pensyarah jualan jadi pakar pertahanan
Dilantik pula menjadi dekan
Bukankah ini kes Tanjung Rambutan?
 
Kerjasama Kementah susah nak jalan
Ada saja halangan dan juga alasan
Apa guna ada universiti pertahanan
Kalau setakat nak ajar keusahawanan?

Banyak lagi perkara tersirat
Tetapi ini cukuplah disurat
Bukan untuk ditelan bulat-bulat
Tapi diedarkan untuk disiasat


Sajak ditulis oleh Mat Gerek dan disiarkan oleh akhbar HarakDaily pada 11 Dis 12. Adakah terdapat kebenaran dari sajak yang ditulis oleh penulis?. Adakah memang berlaku perubahan kepada objektif utama penubuhan Universiti ini yang berteraskan ketenteraan dan strategik pertahanan negara dan diganti dengan keusahawanan?.  Adakah produk universiti ini iaitu Pegawai Kadet pada suatu hari nanti yang akan menerajui ATM akan mempunyai pemikiran seperti orang awam dimana tugas dan tanggungjawab mereka adalah sebagai benteng pertahanan negara?. NTB berharap kemelut ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin agar perkara ini tidak terus menjadi tanda tanya kemana sebenarnya arah tuju sebenar penubuhan  UPNM.





Wednesday, 12 December 2012

PM LANCAR 7 INISIATIF BANTU PESARA TENTERA SABTU INI



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan tujuh produk teras bagi memperkasakan bekas tentera sempena perasmian Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar, Sabtu ini. Pelancaran tujuh produk tersebut adalah antara inisiatif terbaharu kerajaan melalui pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi membela nasib pesara serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negara ini.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 300,000 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 234,500 veteran tidak berpencen di seluruh negara. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu antara lain merangkumi bantuan melonjak usahawan bekas tentera, pemberian kad 1Malaysia Privilege, kemudahan rawatan, bantuan kerjaya kedua serta mewujudkan usahawan baru pesara tentera. ''Butiran mengenai produk-produk ini akan diperincikan sendiri oleh Perdana Menteri dalam pelancaran itu nanti. Apa yang penting, inisiatif ini melambangkan keprihatinan beliau selaku bekas Menteri Pertahanan selama 14 tahun," katanya.
7 Inisiatif 1MVRP - NBOS7


Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia dilaksanakan dengan tujuh (7) inisiatif :

1.         Program membaikpulih rumah veteran (veterans home repair)

2.         Pusat sehenti veteran 1 Malaysia (veterans access point)

3.         Program penempatan kerja untuk veteran (veterans hiring programme)

4.         Bantuan keusahawanan (entrepreneurs support)

5.       Meningkatkan penerimaan latihan PERHEBAT oleh industri (raise industry acceptance of PERHEBAT training)

6.         Program keluarga veteran 1 Malaysia (veterans family programme)

7.         Kad privilege 1 Malaysia ( veterans privilege card)
    


Menteri Pertahanan berkata, pelbagai inisiatif kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dalam membantu pesara tentera mendapat perhatian negara-negara maju yang berhasrat mengambil langkah sama.




Tuesday, 11 December 2012

ISU PAKAI UNIFORM TENTERA CACAMARBA, ATM TEGUR FARID KAMIL



Farid Kamil bukan sahaja tidak mendapat kebenaran untuk memakai uniform pasukan keselamatan pada majlis resepsi persandingannya dengan Diana Danielle tetapi telah mengenakan pakaian yang cacamarba.

Pegawai Perhubungan Media, Unit Komunikasi Kementerian Pertahanan, Leftenan Komander Rahimah Taib berkata, pakaian “istiadat” itu tidak mencerminkan anggota beruniform di negara ini kerana ia tidak selari dengan imej pasukan berkenaan.

“Pada dasarnya baju, seluar dan topi dipakai Farid itu adalah pakaian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala lencana pada bahunya adalah lambang mejar jeneral Tentera Darat. “Lencana penerbangan di bahu kanan pula menggambarkan seseorang itu adalah anggota Tentera Udara,” katanya.

Ahad lalu akhbar Kosmo melaporkan Farid Kamil mungkin diipenjara kerana menyalahgunakan pakaian istiadat pegawai pasukan keselamatan pada majlis resepsi persandingannya yang diadakan di Taman Ekuestrian Putrajaya dekat sini pada 1 Disember lalu. Istiadat lalu di bawah pedang yang diadakan ini tidak menggambarkan ciri-ciri anggota polis kerana pakaian yang dipakai tidak lengkap.

Tambah Rahimah, sekiranya Farid benar-benar berhajat untuk menyarungkan uniform tentera pada majlis itu, dia boleh membuat permohonan rasmi untuk dipertimbangkan. Pihak beliau tiada masalah untuk tujuan tersebut kerana selama ini mana-mana penerbit yang ingin menggunakan pakaian tentera bagi watak-watak tertentu dalam filem atau drama akan mendapat nasihat cara pakaian sebenar sebagai seorang anggota tentera.

“Kami tidak menerima apa-apa permohonan daripada Farid berhubung perkara itu tetapi langkahnya mencampuradukkan pangkat dan pakaian pasukan beruniform di negara ini adalah tidak wajar,” katanya.

Sehubungan itu pihaknya akan menghantar surat teguran kepada Farid supaya dia tidak mengulangi lagi kesilapan tersebut namun tiada tindakan undang-undang dapat dikenakan disebabkan pakaian yang disarungkan itu tidak mencerminkan mana-mana pasukan keselamatan di negara ini kerana ia bersifat cacamarba