Followers

Wednesday 20 February 2013

KRISIS DI LAHAD DATU – KERAJAAN CARI JALAN TERBAIK



Kerajaan Malaysia masih memberi ruang bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan insiden pencerobohan sekumpulan rakyat Filipina ke negara ini melalui Kampung Tanduo, Lahad Datu. Ruang yang diberikan itu tidak bermakna kerajaan tunduk kepada sesiapa tetapi bagi memastikan insiden pencerobohan itu tidak menjurus kepada sesuatu yang tidak diingini seperti pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Fokus utama ialah untuk menyelesaikan perkara ini dengan cara yang  terbaik.

Pendekatan pihak berkuasa Malaysia dengan membuka pilihan yang ada dalam menangani masalah berkenaan ialah bagi mengelak insiden itu daripada dipolemik atau dipolitikkan pihak tidak bertanggungjawab di dalam negara dan antarabangsa. Pihak yang berkepentingan dinasihatkan untuk tidak mendesak pihak berkuasa ke tahap itu.

Pasukan keselamatan tidak akan berkrompomi dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan Sabah. Kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Sabah tetap diutamakan dan dimohon agar  semua pihak supaya memberi sedikit masa kepada  pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah itu. Semua pihak harus memberi ruang kepada agensi keselamatan negara yang telah dilatih serta bertindak profesional dalam menjalankan tugas-tugas menangani kejadian pencerobohan itu.

Insiden itu bukanlah suatu mainan dan admin berharap agar semua pihak samada di media massa dan media sosial supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan operasi pihak berkuasa untuk menyelesaikan  masalah itu. Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menggembar-gemburkan keadaan yang kurang benar di Lahad Datu. Sebagai contoh rakaman kes tembak menembak di pasar awam di Lahad Datu pada 16 Feb 2009 yang digembar-gemburkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tiada kaitan dengan insiden ini. Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat sebenar sebelum membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat keamanan negara.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim  Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), sentiasa bersiap siaga dalam  mengawal sempadan negara terutama di kawasan pantai timur Sabah bagi menyekat penyusupan baharu. Kerajaan melalui Wisma Putra dan agensi risikan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerjasama baik dan berhubung rapat berhubung isu berkenaan.


Nasihat admin, jadilah pembaca dan rakyat yang bertanggungjawab dan serahkan hal insiden berkenaan ditangani oleh pihak berkuasa. Anggota keselamatan kita di Lahad Datu tidak tidur malam dan bergadai nyawa mengepung dan mengawasi kumpulan berkenaan. Janganlah jadi rakyat yang tidak bersyukur dengan mengkritik tugas, pengorbanan dan tanggungjawab mereka dengan menyatakan askar dan polis tidak buat kerja. Tanpa mereka, mungkin kita tidak mengecapi keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati sekarang ini.


 

2 comments:

Anonymous said...

great thought mate

Si Pari-Pari said...

Apa lagilah sebenarnya yang diorang nak ni??