1. Kata Hang Tuah
“Tak akan Melayu hilang di dunia.” Dapatkah kata-kata keramat ini menentu yang
Melayu tak akan hilang di dunia?
2. Di Singapura
kerana tidak ada lagi sekolah Melayu dan bahasa penghantar di sekolah-sekolah
di Republik itu ialah Inggeris dan China; segala urusan rasmi dan tidak rasmi
menggunakan Bahasa Ingggeris atau China, maka orang Melayu sudah pun tidak
menggunakan Bahasa Melayu. Mereka menggunakan Bahasa Inggeris walaupun semasa
bercakap dengan anak pinak, keluarga dan kawan-kawan Melayu.
3. Budaya, adat
istiadat Melayu juga terhakis. Yang tinggal hanyalah agama Islam mereka.
4. KeMelayuan mereka
sudah tinggal separuh. Kita boleh ramal yang hakisan keMelayuan mereka akan
berterusan sehingga akan hilanglah Melayu di Singapura.
5. Di sebelah utara
pula kita dapati orang keturunan Melayu yang tidak dapat bertutur kata dalam
Bahasa Melayu. Mereka Islam dan bangsa rasmi mereka ialah Thai. Maka hilanglah
juga Melayu disitu.
6. Tetapi di
Malaysia juga kehilangan Melayu sedang berlaku. Ada anak muda Melayu yang tidak
lagi ingin dikenali sebagai orang Melayu. Mereka orang Malaysia. Ada pula yang
hanya akui mereka orang Islam dan tidak perlu dikaitkan diri mereka dengan kaum
Melayu.
7. Tetapi yang akan
menghilangkan Melayu di dunia ialah dakwaan bahawa sesiapa yang bercakap
berkenaan dengan bangsa Melayu, mereka akan dituduh “racist”. Oleh itu orang
Melayu sudah tidak lagi berani menyebut perkataan Melayu kerana tidak mahu
dituduh “racist”.
8. Kasihan Hang
Tuah. Besar kemungkinan kata-katanya tidak lagi akan menjadi kenyataan.
Demikianlah apabila kita bergantung kepada kata-kata hikmat untuk nasib kita,
akhirnya akan hilang hikmatnya.
# Kata-kata Tun Dr
Mahathir bin Mohamad
No comments:
Post a Comment