Orang Melayu hari ini sedang menghadapi gelora politik
yang dicetuskan oleh bukan Melayu. Terpulanglah kepada orang Melayu untuk
menghadapi isu yang penting ini. Usaha ke arah penyatuan Melayu, dari segi
politik, ekonomi dan sosial sangat penting ke arah memperkasakan semula
kekuatan orang Melayu dalam semua bidang ini.
Orang Melayu akan terus mempertahankan dan mengekalkan
hak orang Melayu khususnya berkaitan agama Islam, bahasa dan budaya. Titik
tolak pertemuan ke arah persetujuan antara yang menjadi hak orang Melayu
seharusnya dipertahankan. Dalam sebuah negara berbilang kaum, bahasa dan
budaya, kemajuan dalam ekonomi bukanlah satu-satunya ukuran tentang tahap
perpaduan yang boleh dicapai di negara tersebut. Keseimbangan ekonomi penting
bagi mengukuhkan perpaduan dalam sesebuah negara maju.
Orang Melayu mesti mempunyai ilmu untuk menguatkan kedudukan
mereka dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya. Orang Melayu dan
pemimpin Melayu harus bangkit menilai keupayaan dan peranan supaya usaha
memajukan orang Melayu menghasilkan kesan yang kukuh, di samping hidup dalam
harmoni dalam masyarakat berbilang kaum. Orang Melayu seharusnya mengetahui
hak-hak mereka dan mempertahankan melalui kekuatan ilmu pengetahuan dan
sentiasa bersatu dalam melaksanakan apa sahaja agenda yang baik untuk
kepentingan bangsanya.
Adalah diharapkan semua orang Melayu di peringkat
pemimpin atasan, pemimpin pertengahan dan rakyat bawahan bersatu dalam menggembeleng
kekuatan ekonomi dan memahami apa juga dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Perkembangan di bidang sosioekonomi, industri, pengurusan, dan politik mestilah
difahami dan direbut bagi kemajuan hidup. Sehubungan itu, orang Melayu mestilah
terus berusaha memperkuatkan kedudukan ekonomi dan memperbaiki
kesilapan-kesilapan yang telah berlaku dalam bidang ekonomi. Mendalami ilmu
ekonomi dan berusaha mempertingkatkan ekonomi akan dapat membanteras kemiskinan
dalam kalangan orang Melayu serta berusaha meningkatkan peratus pencapaian
dalam ekonomi negara.
No comments:
Post a Comment