Followers

Tuesday 16 October 2012

PRESTASI PEMBINAAN PROJEK RUMAH KELUARGA ANGKATAN TENTERA OLEH MINDEF KURANG MEMUASKAN MENELAN KOS LEBIH RM 3.2 BILION



Pembinaan kemudahan Rumah Keluarga Anggota Tentera (RKAT) oleh Kementerian Pertahanan menelan kos lebih RM3.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM1,464.71 juta daripada peruntukan siling bagi projek tersebut.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, peruntukan siling RMKe-9 bagi 38 projek RKAT ialah sebanyak RM1,742.12 juta. Bagi 12 projek RKAT yang dilawati, kos kontrak asal berjumlah RM1,122.75 juta. Bagaimanapun, kos ini telah meningkat kepada RM1,297.18 juta iaitu peningkatan sebanyak RM174.43 juta, menurut laporan yang diedarkan di Dewan Rakyat.

Jabatan Audit Negara mendapati secara keseluruhannya prestasi pembinaan bagi 12 projek RKAT yang dibina dalam RMKe-9 itu dan pengurusan satu RKAT yang diaudit adalah kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang boleh menjejaskan objektif pembinaannya. Secara keseluruhannya, Kementerian Pertahahan melaksanakan 38 projek RKAT meliputi pembinaan 9,445 unit rumah dan sehingga Disember 2011, sebanyak 37 projek siap manakala satu projek lagi masih belum siap dan telah dikategorikan sebagai projek sakit.

Laporan audit juga menyatakan bahawa daripada 37 projek yang siap, didapati sembilan projek dibawa ke RMKe-10 sebagai projek sambungan dengan kos berjumlah RM186.30 juta. Ini kerana sembilan projek tersebut mengalami banyak kecacatan dan kerosakan pembinaan serta memerlukan kerja pembaikan.




Berdasarkan semakan audit, enam projek RKAT di Lembah Klang yang dibina oleh Syarikat Usahasama SPNB-LTAT Sdn. Bhd. (Syarikat USL) mempunyai bilangan kerosakan dan kecacatan pembinaan yang paling tinggi. Semakan audit mendapati Syarikat USL juga gagal menyelesaikan antara 1,493 hingga 2,085 aduan kerosakan dan kecacatandalam tempoh atau selepas tamat tempoh tanggungan kecacatan.


Jabatan Audit Negara turut menegur Kementerian Pertahanan di atas kelemahan dalam pengurusan projek RKAT hingga memaksa kerajaan menanggung kos tambahan. Kementerian sepatutnya merampas jaminan bank setelah Syarikat USL gagal menyelesaikan kerja pembaikan sebaik sahaja tamat tempoh tanggungan kecacatan.Kementerian juga tidak sepatutnya mengeluarkan Perakuan Siap Membaiki Kecacatan (CMGD) memandangkan kerja pembaikan yang masih belum selesai dilaksanakan oleh kontraktor.

Sumber: Mstar.com.my

1 comment:

Anonymous said...

Apa sudah jadi pada Kementah dan ATM!!!!.

Apakah perlu ATM bergembira dalam tangisan?. bergembira kerana pasukannya mungkin jadi juara tetapi menanggis kerana tak larat duduk rumah yg `tak serupa plan'.

Nampak sangat ada cakap tak seupa plan...