Followers

Friday 12 October 2012

SPB YDP AGONG DIMASYHUR CANSELOR UPNM


SPB YDP Agong dan Raja Permaisuru Agong

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada majlis istiadat konvokesyen universiti itu semalam. Upacara pemasyhuran dijalankan dengan penuh istiadat universiti berkenaan dengan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan watikah pelantikan selepas Tuanku Abdul Halim berkenan dengan pemasyhuran itu.

Watikah Perlantikan
Seri Paduka berkenan menerima cokmar UPNM berasaskan pedang Zulfakar sebagai lambang kuasa Universiti itu daripada Naib Canselor, Lt Jen Datuk Wira Allatif Mohd Noor. Turut berangkat hadir Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Tuanku Abdul Halim dimasyhurkan sebagai Canselor UPNM menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Agong ke-13.

 
Selepas keberangkatan pulang Seri Paduka berdua, Tunku Puteri Intan Safinaz mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan) kepada Jen (B) Tan Sri Dr Hashim Mohd Ali dan Ijazah Kehormat Sarjana (Pengajian Strategik) kepada Mejar Jen (B) Abdullah Babu. Hashim, yang juga adik kepada isteri bekas perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pernah berperanan sebagai wakil daripada kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian damai peletakan senjata Parti Komunis Malaya. Beliau juga pernah memegang jawatan Panglima Angkatan Tentera pada 1987. Abdullah pula menerima anugerah itu atas kecemerlangan intelek dan kepemimpinan dalam bidang strategi peperangan.

Pedang Zulfakar
Tunku Puteri Intan Safinaz turut berkenan mengurniakan Ijazah Sarjana Muda kepada 412 graduan iaitu 298 pegawai kadet, 112 graduan awam dan dua graduan program Sarjana. Enam pelajar cemerlang turut menerima anugerah khas daripada Tunku Puteri Intan Safinaz. Tahniah dicapkan kepada kesemua penerima anugerah. Semoga UPNM akan terus melahirkan pegawai dan pelapis ATM yang berintelek di masa hadapan.


No comments: