Followers

Friday, 24 August 2012

ADAKALANYA KITA LUPA, LEKA AKAN PERANAN TENTERA



Secara jujurnya, berapa ramaikah antara kita khususnya generasi muda yang berminat membaca artikel berkaitan dengan kisah dan pengorbanan perajurit dalam usaha menggapai kemerdekaan negara?

Namun realitinya terdapat segelintir pihak memandang sambil lewa pembacaan artikel berkenaan, kerana merasakan ia adalah sesuatu yang membosankan serta tiadanya penyisipan elemen hiburan.

Biarpun hanya membabitkan komuniti kecil, namun seharusnya pengorbanan perajurit dihayati semua golongan tanpa kira tua, muda, kanak-kanak apatah lagi tatkala menjelang hari kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Kalau diimbas, kemeriahan sambutan kemerdekaan tidak sekadar diisi dengan penceritaan pengorbanan perajurit menerusi medium berita, rencana, malah pemupukan ke arah peningkatan semangat patriotisme ini turut diaplikasikan dalam pelbagai kaedah.

Antaranya, menerusi drama genre sejarah, dokumentari khusus selain program-program sambutan kemerdekaan yang dianjurkan.Namun, semuanya berbalik kepada persoalan berapa ramaikah antara kita yang begitu menghargai, menjiwai dan menghayati akan erti sebenarnya pengorbanan perajurit ini?

Lupa kepentingan tentera

Sudahlah nilai patriotisme di kalangan golongan muda sering dipertikaikan dengan ada antara mereka menganggap hari kemerdekaan tidak lebih daripada sekadar cuti awam.
   
Bagaimanapun, apa yang paling mendukacitakan apabila ada segelintir pihak bukan sahaja tidak menghargai pengorbanan perajurit sebelum ini bahkan memandang sebelah mata atau lupa akan kepentingan tentera hari ini.

Bagi mereka, peranan tentera hanya perlu disanjung sebelum era kemerdekaan yakni sebelum tahun 1957 kerana mengaitkan anggota pertahanan negara dengan Darurat yang berlaku pada waktu itu, namun adakah mereka benar-benar menghargainya?
   
Berbanding pada hari ini, di mana negara aman dan makmur dan masyarakat pelbagai bangsa dalam satu negara hidup aman, sejahtera, sehingga menjurus kepada satu pemikiran sempit, mempertikaikan kepentingan untuk mengwujudkan satu pasukan tentera berkaliber.

Semuanya berlaku disebabkan mereka mengambil enteng akan peranan anggota tentera di samping tiadanya minat untuk mengetahui kisah perajurit serta sejarah negara.
   
Kalau diikutkan, sejarah serta pengetahuan mengenai kisah pengorbanan perajurit beperanan serampang dua mata di mana selain menajamkan semangat patriotisme ia juga membuka mata seluasnya akan peranan anggota tentera. Namun peranan tentera hari ini dilihat seperti tiada kepentingan, sekadar beraksi di pembarisan, pameran, ekspo serta pemberian bantuan.

Walhal, keamanan, keharmonian dikecapi hari ini bukan sekadar hasil daripada tonggak kepimpinan negara malah merupakan pengorbanan anggota keselamatan, tanpa kira siang malam, tidak kenal erti penat lelah, tinggalkan isteri dan anak semata-mata hanya satu, menjaga serta mempertahankan kemerdekaan yangdikecapi selama 55 tahun ini!

Negaraku Merdeka

Tiadanya peperangan, negara sudah merdeka, tidak bererti kita sudah terlepas daripada ancaman musuh. Kita harus ingat kewujudan tentera ini sebagai benteng daripada ancaman luar. Bukannya apabila mengaitkan tentera, kita mesti berperang, bukan. Lagipun, bukan dasar kita untuk menakluki mana-mana negara lain.

Jika kita lihat tentera tidak penting, dengan kedudukan Malaysia yang strategik ini ada kemungkinan kita akan dijajah sekali lagi. Kita mesti setanding dengan negara lain dalam aspek pertahanan, demi menjaga keselamatan negara.

Biarpun peranan tentera tidak dapat dilihat secara meluas, hakikatnya anggota keselamatan ini sama ada darat, laut mahupun udara, mereka yang bertanggungjawab menjaga sempadan, melakukan pemantauan, rondaan bagi mempertahankan negara daripada diceroboh oleh anasir jahat mahupun membanteras penyeludupan senjata, manusia.

Dengan adanya langkah kawalan ini, ia bukan sahaja menjanjikan keamanan, keharmonian kepada masyarakat sehingga menyebabkan ada antara mereka memandang sebelah mata akan peranan komuniti pertahanan ini, namun harus diingat tentera antara faktor penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta tarikan pelabur luar.

Namun, disebabkan sebahagian besar generasi sekrang sudah merasai kenikmatan dunia, dan tidak pernah merasai cabaran keperitan sebelum itu, kebanyakannya lupa dan leka akan kepentingan tentera.

Ditambah pula dengan semangat patriotisme yang kurang menebal, tidak berminat membaca dan menonton kisah perajurit terdahulu, menyebabkan peranan tentera hari ini dilihat tidak penting, senario ini boleh melukakan perasaan di kalangan parajurit yang masih hidup, berjuang demi kemerdekaan negara.
Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1963-1966

Mungkin ada yang lupa akan peristiwa ini. Biarpun ia sudah lama berlalu, namun Konfrontasi Malaysia-Indonesia ini merupakan satu sejarah hitam moden yang berlaku selepas era kemerdekaan negara, merungkai akan kepentingan untuk mengwujudkan barisan tentera berkaliber.

Katakanlah kalau kita kalah pada konfrontasi itu, kemerdekaan negara akan habis dan ditakluk semula serta menjadi rakyat Indonesia.Konfrontasi ini menjadi satu penggerak untuk membangunkan satu kuasa tentera darat, laut dan udara yang kuat bagi memastikan keamanan negara berterusan. Ia seperti kalau anda ada rumah yang cantik, tetapi kalau tidak ada pagar, tiada gunanya.
    
Pengisian sambutan kemerdekaan

Mungkin, menyalahkan sepenuhnya generasi muda bukanlah satu tindakan wajar. Ada kemungkinannya pengisian sambutan kemerdekaan negara perlu dijadikan pemangkin semangat patriotisme serta rasa penghargaan kepada anggota tentera.
   
Namun begitu, semuanya berbalik kepada didikan sejak kecil lagi. Pemupukan semangat patriotisme di samping menghargai jasa tentera bukan sahaja sebelum era kemerdekaan tetapi sehingga saat ini harus disemai setiap masa.
   
Harus diingat, tanpa adanya anggota tentera tidak mungkin kita dapat hidup seaman, sedamai ini.


No comments: