Followers

Saturday, 11 August 2012

SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA



Dalam pada kita sibuk dengan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, tidak lupa juga kita dengan sambutan hari Merdeka pada tahun ini. 'Janji Ditepati' dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos.

Sarawak dipilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September. Perarakan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka manakala pada sebelah malamnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan bersama rakyat di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan amanat merdeka dan amanat Hari Malaysia.

Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia akan dimulakan pada 11 Julai anjuran pihak swasta melalui program Buku Rekod Malaysia. Pada 15 Julai pula, Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan program-program yang berkaitan dengan belia di Menara Kembar Petronas. Pada 17 Julai, Perdana Menteri akan merasmikan program pengibaran Jalur Gemilang di Brickfields, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Baru dan pemimpin masyarakat Cina di Jalan Petaling. Program berkaitan berunsur keagamaan akan diadakan untuk masyarakat Islam sepanjang bulan ramadhan.

Ayuh kita akan semarakkan seboleh mungkin pengibaran Jalur Gemilang di kawasan dan premis yang sebelum ini tidak diambil berat dan inilah masanya untuk kita memperlihatkan kepada dunia bahawa sekali setahun kita menyumbang ke arah kenegaraan kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang di jendela atau pintu.


No comments: