Peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya
berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada
kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan,
tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti
turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah
mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat
Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti
bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai
perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan
sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran
mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah
sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau
tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam
al-Quran.
Dan tidak seekor
pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang
dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada
Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka
semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
(Al-An’am:38)
Al-Quran adalah hidayah,
rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi
penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran
juga dikenali sebagai Al-Nur bererti
cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti
yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula
bermaksud yang memberi peringatan. Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat
al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui
perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat
pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai
Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia
menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha
Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan
manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5).
Semoga kita mendapat renungan dan hidayah dari peristiwa Nuzul Quran..Amin!!
No comments:
Post a Comment