Followers

Tuesday, 28 August 2012

ROHINGNYA DAN NILAI KEMERDEKAAN MALAYSIA



Dalam kemeriahan kita menyambut Hari Raya dan bergembira bersama sanak-saudara, jangan kita lupa dengan saudara-saudara seagama di tempat lain yang tidak dapat merayakan hari raya seperti mana kita merayakannya.

Ya,
 cliche. Tetapi itulah hakikatnya. Ketika kita sedang sibuk memilih kuih raya mana yang mahu disumbat ke dalam esofagus, kawan-kawan kita di Palestin sedang memilih batu kerikil mana yang mahu dilontarkan kepada tentera rejim zionis Israel hari ini. Ketika kita sedang sibuk menggayakan baju raya baru kita yang berkilauan warnanya, sahabat-sahabat kita di Syria tiada baju untuk dipakai dek dibakar oleh tentera-tentera rejim Bashar al-Assad. Dan ketika kita riang gembira menyembelih ayam, kambing dan lembu untuk dijadikan juadah raya, saudara-saudara Rohingya kita disembelih untuk dijadikan 'juadah raya' oleh pelampau Buddha Rakhine.

Itulah masalahnya umat Islam hari ini yang melihat sesuatu perkara berdasarkan 'issues-oriented', iaitu perjuangan yang berdasarkan isu dan bukannya perjuangan agung membela ummah dan agama. Oleh itu, marilah kita kembali melihat nasib umat Islam Rohingya yang diperlakukan dengan begitu jijik sekali oleh etnik Rakhine yang rata-ratanya beragama Buddha. Semoga perkongsian ini akan menjadi pencetus untuk kita lebih cakna dengan isu ummah di masa-masa hadapan dan tidaklah berbasa-basi dan acuh tak acuh sahaja. Semoga selepas ini kita lebih konsisten dan persisten dalam memperjuangkan nasib saudara-saudara seaqidah kita.

Latar Belakang Tragedi

Secara ringkasnya, etnik Rohingya sudah lama teraniaya dan hidup dalam penderitaan. Cuma tahun ini, telah berlaku suatu krisis yang membawa kesengsaraan mereka ini ke pentas dunia di zaman yang penuh dengan kemajuan maklumat dan teknologi. Sebenarnya tragedi kemanusiaan yang dialami oleh umat Islam Rohingya berlaku sejak 1938 lagi apabila dilaporkan seramai 30,000 orang Muslim telah dibunuh pada 26 Julai 1938. Tragedi yang sama juga berulang pada tahun 1942, 1968 dan 1992.

Manakala tragedi yang bermula pada awal Jun tahun 2012 ini tercetus apabila seorang wanita etnik Rakhine dirogol dan dibunuh, dan perbuatan itu didakwa dilakukan oleh beberapa lelaki daripada etnik Rohingya. Sebagai tindak balas dendam, puak Rakhine ini telah mengepung dan menyerang sebuah bas dan membelasah lantas membunuh sepuluh orang lelaki Rohingya, kerana menyangkakan mereka yang bertanggungjawab membunuh dan merogol wanita etnik Rakhine itu. Inilah taktik lazim penjahat mahu mencipta isu, iaitu isu untuk menghalalkan perbuatan haram mereka. Sama seperti Amerika yang membedil Afghanistan, kerana mendakwa Osama ben Laden berada di negara tersebut.
 
Selepas kejadian itu, segala kekejaman puak Rakhine bermaharajalela. Krisis ini menjadi semakin parah dan berlarutan apabila ia bertukar menjadi lebih ganas dan brutal dengan pembunuhan etnik Rohingya secara berkumpulan oleh puak Rakhine. Etnik Rakhine mengambil kesempatan ini untuk melunaskan dendam mereka terhadap bangsa Rohingya ini yang telah disimpan sejak sekian lama. Lebih memburukkan keadaan adalah apabila diberitakan bagaimana pihak tentera dan polis yang rata-ratanya juga beragama Buddha turut bekerjasama dalam pembersihan etnik Rohingya ini.

Laporan daripada Amnesty International menyatakan bahawa kemungkinan ribuan umat Islam Rohingya telah disembelih oleh puak pelampau Rakhine. Pelarian Rohingya ke Bangladesh mendakwa bagaimana pihak polis, tentera dan etnik Rakhine menembak penduduk kampung dengan begitu bersahaja tanpa rasa bersalah. Tambah menyedihkan ialah wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab dan ramai di antara mereka yang ditindas, dirogol dan sebagainya. Bukan itu sahaja, malahan masyarakat Islam di sana turut dinafikan hak dari segi perubatan samada di hospital mahupun di klinik-klinik dan mereka dipaksa membayar dengan harga yang terlampau tinggi untuk setiap kos rawatan yang ingin mereka dapatkan.

Ada Apa Dengan Rohingya?

Menurut sejarah, etnik Rohingya sudah lama menetap di Burma (nama lama bagi Myanmar) yang berjiran dengan tanah Bengal ketika itu (Bangladesh belum lagi tertubuh). Mereka ini sudah lama menetap di Arakan, sehinggalah penaklukan oleh orang-orang Burma yang menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri ke Chittagong, daerah di bawah kekuasaan British yang berjiran dengan Arakan. Arakan adalah wilayah yang sedang bergolak sekarang ini. Dan secara mudahnya, etnik Rohingya merujuk kepada golongan Muslim yang pernah menetap di Arakan, dan kemudian berhijrah ke Chittagong sebelum kembali semula ke Arakan.

Semasa penjajahan British di India, pihak British telah menggalakkan orang-orang Bengal, terutamanya dari Chittagong untuk berhijrah ke Arakan untuk menguruskan dan bercucuk-tanam di sana. Disebabkan British memerlukan tenaga buruh murah untuk menguruskan tanaman padi di Burma, kemasukan imigran dari Bengal ke Burma meningkat dengan mendadaknya. Untuk rekod, penghijrahan yang berlaku ini melibatkan seluruh wilayah di Burma dan tidak hanya terhad di Arakan sahaja. Akibat penghijrahan secara berjemaah ini, orang Bengal menguasai ekonomi dan sosio-politik di Burma. Hal ini telah menyemai rasa inferior dan rasisme di kalangan penduduk peribumi Burma.

Kebencian orang Burma terhadap orang-orang Rohingya bertambah parah ketika penaklukan Jepun di Asia. Orang-orang Rohingya majoritinya menyokong pakatan yang antara lainnya terdiri daripada pihak British, manakala etnik Rakhine menyokong penuh penjajahan Jepun ke atas Burma. Akibat daripada perbezaan ideologi ini, ribuan etnik Rohingya dibunuh dengan kejamnya oleh kedua-dua pihak Rakhine dan tentera Jepun. Ramai orang-orang Rohingya melarikan diri ke Chittagong.

Semasa pemerintahan junta tentera pula, nasib orang-orang Rohingya bertambah buruk. Di bawah pemerintahan kuku besi Jeneral Ne-Win, operasi tentera dilakukan berskala besar dan bersistematik terhadap golongan minoriti di Burma. Antara operasi yang paling ganas adalah Operasi Raja Naga. Untuk rekod, bukan orang-orang Rohingya di Burma sahaja yang menjadi mangsa diskriminasi ini, tetapi golongan minoriti yang lain juga seperti orang Kokang dan Cina Muslim.
 
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, etnik Rohingya adalah salah puak atau bangsa minoriti yang teraniaya sekali di dunia ini. Mereka tidak punya negara atau pemerintahan sendiri. Tiada negara yang mahukan mereka. Malah di Myanmar sendiri, mereka perlu meminta izin setiap kali mahu berkahwin atau keluar daripada kampung halaman mereka! Kehidupan mereka sehari-hari amat sinonim dengan kedhaifan, penderitaan dan kesengsaraan. Isu yang dihadapi oleh masyarakat Rohingya lebih kepada proses penghapusan etnik oleh Rakhine, sama seperti mana di Bosnia dan Chechnya satu ketika dulu.

Marilah kita bersama-sama mensyukuri nikmat kehidupan tinggal di bumi Malaysia yang kita cintai ini. Semoga saudara kita yang sedang berjuang sentiasa mendapat perlindungan dari Allah S.W.T...Selamat Hari Merdeka...



No comments: