Followers

Friday 27 July 2012

JI, BEKAS KOMUNIS MAHU TANDING PRU 13


Risikan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa terdapat pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti politik pembangkang selain cuba menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin berkata, Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi Pas selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

"Beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PKR juga sering berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand yang dipercayai untuk mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) di sana.

"Kesannya, idea-idea berhubung politik baru yang berpotensi menjejaskan nilai teras negara telah berkembang. Gerakan ini sebenarnya mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO) asing yang membantu dari segi kewangan, latihan dalam dan luar negara serta pendedahan kepada kepakaran tertentu untuk menghadapi pilihan raya," katanya.

Mohd Sofian berkata, tindakan gerakan itu sebenarnya bertujuan untuk melahirkan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang sentiasa bersikap bermusuhan terhadap kerajaan sekaligus bermatlamat mewujudkan suasana kucar-kacir sehingga melemahkan sesiapa sahaja yang memerintah negara. "Dalam hal ini, kita bimbang tindakan parti pembangkang dan NGO memainkan isu kontroversi yang membakar sentimen rakyat agar membenci kerajaan menjelang pilihan raya.

"Tambahan pula budaya kempen sepanjang tahun yang diamalkan di negara ini menyebabkan fikiran rakyat terus terdedah dengan pelbagai maklumat yang mempunyai nilai politik," kata beliau.

No comments: