Walaupun tarikh membuang
undi Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13) masih belum dapat dipastikan, pelbagai
spekulasi dan ramalan mengenai tarikh keramat itu juga tersasar, namun bahang
pilihan raya semakin membara di segenap tempat di negara ini. Ada juga pihak
yang meramalkan Hari Penamaan Calon akan diadakan sekitar 14 Apr manakala Hari
Mengundi sekitar 27 Apr nanti. Entah.....lah!!! Kita tunggu keputusan SPR.
Topik mengenai peluang kemenangan sesebuah parti politik di satu-satu kawasan
juga hangat dibincangkan, bukan sahaja di kedai-kedai kopi malahan situasi sama
turut mewarnai kopitiam Cina.
Perbincangan
kopitiam ini kadang kala dilihat “kosong” atau dibicara secara bersahaja,
manakala sarjana sains politik mungkin melihat perbualan di kopitiam ini
sebagai kurang berasas atau tidak memenuhi syarat akademik. Namun bicara
politik di kedai kopi selalunya memberi mesej yang tersendiri di mana daripada
perbualan biasa inilah, kita boleh mengetahui sedikit sebanyak hala tuju atau
kecenderungan undi di sesuatu kawasan. Keadaan ini adalah amat penting
terutamanya untuk menilai dan meramal ke mana akan perginya undi di kalangan
pengundi Cina, iaitu kumpulan pengundi yang dikatakan paling sukar untuk
diramalkan. Agak menarik apabila terdapat pakar-pakar tilikan dan fengshui Cina
yang turut menggunakan kemahiran mereka untuk meramal keputusan PRU 13 akan
datang.
Seorang pakar
ramalan Cina umpamanya menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan berjaya
memenangi 143 kerusi Parlimen sekiranya pilihan raya umum diadakan pada tahun
2012, pakar tersebut turut meramalkan BN akan berkuasa di sembilan negeri.
Terdapat pula ahli nujum yang meramalkan bahawa nasib BN akan lebih baik di
utara tanah air sekali gus memberi peluang kepada BN untuk merampas semula
Kedah dan menambah kerusi di Pulau Pinang. Menariknya jika zaman dahulu
biasanya ahli nujum akan membuat ramalan dengan mengkaji horoskop atau bintang.
Tetapi pada era ini bintang pada logo 1Malaysia turut dijadikan petunjuk untuk
meramal peluang kemenangan BN pada PRU 13. Terdapat peramal umpamanya
menjangkakan BN tidak dapat berkuasa di semua negeri kerana bintang pada logo
1Malaysia adalah tidak sempurna dan bukannya bentuk bintang yang lengkap. Tidak
kira tilikan peramal-peramal ini betul atau tidak, apa yang pasti pengundi Cina
masih merupakan kumpulan pengundi yang paling sukar diramalkan hala tuju
sokongan undi mereka.
Masih ramai
pengundi Cina tidak membuat keputusan untuk mengundi BN atau pembangkang.
Keadaan ini disebabkan oleh nilai kehidupan tradisi masyarakat Cina sendiri di
mana mereka akan membuat penilaian berterusan ke atas persekitaran semasa.
Kemenangan BN juga amat bergantung kepada kemampuan parti komponennya terutama
MCA untuk melawan propaganda pembangkang yang mahu meracuni minda pengundi
Cina.
Pada pilihan raya
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak umpamanya, sebahagian pengundi Cina
didapati beralih sokongan kepada parti pembangkang membolehkan DAP mencatat
kemenangan di beberapa kerusi. Trend pengundi Cina yang sukar diramal turut
ditunjukkan dalam beberapa siri pilihan raya kecil. MCA umpamanya mendakwa
pengundi Cina lebih cenderung menyokong BN dalam pilihan raya kecil di Kuala
Terengganu pada Januari 2009; tetapi ketika pilihan raya kecil di Bukit Gantang
pada April 2009 pula, pengundi Cina pula beralih kepada pembangkang. Dalam
Pilihan Raya Umum 2008 pula, boleh dikatakan undi Cina beralih secara
besar-besaran kepada pembangkang, pengaruh DAP berjaya diperluaskan ke Sabah
malahan di sesetengah tempat di utara Johor, negeri yang merupakan kubu paling
kuat BN. Keadaan ini adalah berbeza dengan Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004
sebelum ini yang memperlihatkan sokongan DAP merosot ke paras terendah.
Keputusan-keputusan pilihan raya tersebut menampakkan wujud trend undi secara
kolektif yang jelas di kalangan pengundi Cina yang tidak terbatas oleh sempadan
negeri, tetapi hala tuju undi tersebut adalah berubah-ubah dan amat sukar
diramalkan.
Sememangnya jika
dibandingkan dengan kebanyakan pengundi Melayu yang merupakan penyokong setia
kepada sesebuah parti adalah sukar digugat, keadaannya adalah berlainan di
kalangan pengundi Cina yang mana sokongan mereka boleh berubah setiap hari.
Mungkin disebabkan oleh sikap atas pagar kebanyakan pengundi Cina ini, tiada
mana-mana parti berasaskan masyarakat Cina sama ada DAP, MCA mahupun Gerakan mempunyai
keyakinan penuh untuk menang di satu-satu kawasan. Walaupun para penganalisis
berpendapat undi Cina masih cenderung kepada parti pembangkang tetapi
hakikatnya keadaan itu boleh berubah pada bila-bila masa bergantung kepada
persekitaran semasa.
No comments:
Post a Comment