Saya sebagai bekas
perajurit yang menerima kecacatan kekal kerana bertempur dengan pengganas
komunis pada 19 Mac 1970 merasa amat kesal dan patah hati apabila membaca
akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Mac 2013. Timbalan
Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abd. Latiff menyatakan ada bekas-bekas jeneral
bergabung dengan parti pembangkang berceramah memperlekehkan keupayaan para
tentera kita.
Perkara ini amat
memalukan dan juga mencerminkan betapa rendahnya nilai perjuangan mereka. Saya
menganggap mereka itu seperti prebet yang telah diturunkan pangkat. Kalau
dinilai daripada semangat perjuangan, bukan begitu cara mereka menaikkan
semangat para pejuang kita.
Amat memalukan,
semasa dalam perkhidmatan, bekas-bekas jeneral ini pandai memerintah sahaja.
Merekalah yang dapat pangkat dan bintang. Bagi saya kalau ada kuasa atau akta,
lucut sahaja bintang-bintang dan gelaran yang diberi kepada mereka. Kalau boleh
potong pencen bulanan mereka kerana menentang kerajaan. Jangan fikir mereka
'besar' dan boleh buat apa yang mereka suka.
Perkara perjuangan
bukan mainan. Saya sendiri telah merasai berhadapan dengan komunis. Sesaat
lalai, maut jawapannya. Bagi bekas para jeneral ini mana ada jumpa komunis,
cuma cakap sahaja. Saya begitu kecewa sikap mereka ini. Betapa seksanya saya
mengejar musuh dan melepaskan tembakan ke arah musuh yang mengakibatkan dua
anggota tentera terkorban dan tiga musuh dibunuh.
Saya bangga
walaupun anggota badan mendapat cacat kekal hingga akhir hayat. Saya malu bekas-bekas
jeneral berkata begitu sedangkan mereka senang-lenang.
Negara kita aman
dan tenteram. Kalau adapun masalah keselamatan, masih boleh dibendung.
Takkanlah bekas-bekas jeneral yang dah lapuk itu cakapnya masih kita pakai.
Buangkan sahaja idea-idea basi itu. Kalau dia kutuk kereta kebal, semasa
berkhidmat semasa ada kuasa mengapa tidak dibetulkan?
Saya berharap pihak
Kementerian Pertahanan memantau perkara ini. Kami semua bekas perajurit
menyokong sepenuh 100 peratus kepada kepimpinan kerajaan. Kepada para jeneral
bersara yang memperlekehkan kemantapan Kementerian Pertahanan, anggaplah mereka
semua telah jumud.
HAJI JAIKA
Kluang, Johor
No comments:
Post a Comment