Followers

Tuesday 2 April 2013

OP DAULAT : CERITA KEDAI KOPI



Baru-baru ini saya menghadiri satu majlis akad nikah dan ketika menikmati jamuan saya terdengar seorang pemuda lingkungan 30-an sedang asyik menghentam kerajaan. Saya tidak ambil pusing sangat kerana perkara ini adalah normal dalam sistem politik kepartian negara kita. Namun begitu selera saya sedikit terganggu apabila mereka mula membahaskan tentang pencerobohan pengganas Kiram dan merumuskan bahawa apa yang berlaku di Sabah telah dirancang oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Dalam negara menghadapi krisis keselamatan yang paling hebat dewasa ini, saya merasa sangat marah melihat segelintir rakyat yang mudah melempar tohmahan negatif kepada kerajaan dan pasukan keselamatan kita. Setakat ini sepuluh orang anggota keselamatan kita telah gugur di Lahad Datu dan Semporna. Adakah itu juga dirancang kerajaan? Air mata yang mengalir pada waris-waris perwira negara yang gugur juga palsu belaka?

Semua ini bertitik tolak daripada kenyataan biadap Ahli Parlimen Batu Y.B Tian Chua yang mudah merumuskan bahawa apa yang terjadi di Sabah adalah rancangan jahat UMNO dan Barisan Nasional. Beliau telah didakwa di mahkamah atas kesalahan menghasut tetapi ini tidak mampu menutup mulut penyokong Pakatan Rakyat yang percaya dengan tohmahan ini. Media sosial digunakan dengan rakusnya untuk melemparkan pelbagai tuduhan pada pihak berkuasa khususnya Pihak Polis Diraja Malaysia. Kata-kata seperti “anjing UMNO” dan “mati katak” digunakan sewenang-wenangnya oleh segelintir rakyat terhadap pasukan keselamatan kita seolah mereka lebih tahu hal keselamatan negara.


Salah seorang bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat, Ng Lum Yong pernah merumuskan bahawa Pakatan Rakyat hanya pandai menghasut penyokong-penyokong mereka agar merasa benci kepada kerajaan. Sikap membenci kerajaan ini telah lama dipupuk oleh pimpinan Pakatan Rakyat sehingga membutakan hati penyokong mereka untuk membezakan antara yang hak dan yang batil. PAS juga tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan laba politik dari isu di Sabah ini dengan mempersoalkan darjah “kesyahidan” wira-wira kita yang gugur.

Di manakah sensitiviti mereka ini terhadap waris-waris pejuang kita? Perlu diingat juga bahawa Ops Daulat masih lagi berjalan dan kenyataan-kenyataan biadap serta cemerkap ini mampu meruntuhkan semangat pasukan keselamatan kita di sana. Seluruh rakyat perlu sepakat di belakang kerajaan menentang dan mengutuk tindakan pengganas Kiram menceroboh kedaulatan negara kita. Inilah masanya untuk kita menzahirkan rasa patriotik kita terhadap Malaysia yang tercinta.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam telah menyatakan bahawa kerajaan akan mengadakan satu siasatan “white paper” bagi menyiasat setiap aspek pencerobohan oleh pengganas Kiram ini termasuk mengenalpasti dalang yang merancangnya. Kerajaan berdepan cabaran pertama pasca pemansuhan Akta Dalam Negeri 1960 yang sebelum ini telah digunakan dengan berkesannya bagi menangani kegiatan subversif dalam negara.

Krisis di Sabah akan beransur pulih dan kehidupan rakyat di kawasan yang terbabit akan kembali normal sedikit demi sedikit. Segelintir rakyat yang memberi komen biadap terhadap pasukan keselamatan mungkin tidak langsung mengambil kisah tentang nasib dan juga isteri dan anak-anak pejuang yang gugur. Mereka selesa menjadi General Kedai Kopi atau Kolonel Papan Kekunci dan gemar berhujah berkenaan teori konspirasi. Biarkanlah mereka, mereka jahil. Saya pulang dengan rasa yang diredam; menyedapkan hati ini memikirkan yang majoriti rakyat Malaysia masih menyokong penuh perjuangan pasukan keselamatan kita.

Zul Azry Khalil
Belia Bangkit

5 comments:

RIANA67 said...

alangkah baiknya jika akta ISA X D MANSUHKAN...mmg inilah yg d tggu2 oleh pembangkang...agar akta ISA Xleh d guna pakai jika mereka membuat onar dalam negara..

Anonymous said...

Yg memusykilkan rakyat adalah sumber berita dr satu pihak je iaitu kerajaan bn.....liputan media dr parti lain tak diberi ruang. Jadi susah nak percaya....

Anonymous said...

selama ni mcm mane dorang jaga sempadan? macam mana plak pendatang asing yg dari ceruk manetah tetibe ade IC? jaga sempadan dapat tangkap pencoroboh, pau duit suh bayar pastu lepaskan, mcm tu ke cara jaga keselamatan negara? member aku salah sorang yg terlibat mengawal sempadan, kejar org mcm nk rak dapat tangkap, tup tup smpi atas lepaskan sbb dia dah bayar, pundek ape

Anonymous said...

ic yg tun m bg tu kat org melayu islam. lebih tepat lg org islam sedare kite jgk d sabah. slh satu tujuannye utk mmbantu mereka yg kebanyannya tiada negara krn filipina tdk iktiraf mereka. juga utk mhalang gerakan kristianiti d mindanao dn sabah. juga mhalang jumlah pnduduk kristian yg melebihi pnduduk islam pd ketika itu. undi? tpulang pd mereka krn sy yakin ada juga antara mereka yg undi pmbgkang. sebaiknya melayu pro pembangkang pergilah jd sb siasat pengindi hantu drpd bgsa cina. jgn tperangkap dgn politik sempit. mnyalahkn kjaan setiap masa. jgn tnya apa sumbangan kjaan utk anda tp tnyalah apa sumbangan anda kpd ngara. y? siapa pemimpin yg penah p palestin? dsai or dsn?

MASSIVE PANIC said...

Apa maksud ko kerajaan BN, aku kerja sebagai wartawan. Semua gambar dan laporan tiada yang ditapis. Aku pergi sana sini mengambil gambar, membuat liputan tak pernah ada satu pun apa yang aku tulis ditapis ataupun dipotong. Sebenarnya sumber berita tiada masalah. Yang bermasalah adalah kepercayaan hanya bergantung kepada sebelah pihak yang dimana aku tak pernah nampak pun Malaysiakini, Harakah, Keadilan Daily atau mana2 sumber yang dikatakan memberi maklumat benar di lokasi kejadian seperti di Lahad Datu.